PENJAGA gol Republik Czech, Tomas Vaclik (kiri) diasak dua pemain Denmark, Joachim Andersen (tengah) dan Martin Braithwaite (kanan) pada perlawanan suku akhir Euro 2020, hari ini. FOTO AFP
PENJAGA gol Republik Czech, Tomas Vaclik (kiri) diasak dua pemain Denmark, Joachim Andersen (tengah) dan Martin Braithwaite (kanan) pada perlawanan suku akhir Euro 2020, hari ini. FOTO AFP
AFP

Baku: Kisah dongeng Denmark di Euro 2020 berterusan ke separuh akhir apabila mereka menewaskan Republik Czech, 2-1 di Baku, hari ini, untuk bertemu sama ada England atau Ukraine di Wembley.

Dua gol jaringan Thomas Delaney dan Kasper Dolberg pada babak pertama sudah cukup memastikan kemaraan anak buah Kasper Hjulmand, sekalipun Czech menguasai babak kedua lepeas Patrik Schick menjaringkan gol kelimanya di kejohanan ini.

Denmark kini menjaringkan 10 gol ketika memenangi tiga perlawanan terakhir, walaupun memulakan kempen dengan dua kekalahan dan paling mengejutkan apabila pemain tengah, Christian Eriksen rebah di padang akibat serangan jantung.

Tiga minggu selepas insiden itu, mereka menyalakan impian mengulangi kejayaan 1992 apabila Denmark memenangi Kejuaraan Eropah, sekalipun gagal melepasi pusingan kelayakan.

Selepas Yugoslavia disekat daripada bertanding kerana peperangan, Denmark tampil sehingga muncul juara dan kali ini mereka bertarung dengan emosi dan inspirasi insiden menimpa Eriksen dan semakin pulih.

Pemain tengah Inter Milan itu dibenarkan keluar hospital tidak sampai seminggu selepas dipasang alat bantuan jantung, tetapi di tengah padang, Denmark berjaya mengatasi kehilangan pemain bintang yang menjana jentera mereka selama sedekad.

Selepas bermain ketiga-tiga aksi kumpulan di depan penyokong sendiri di Copenhagen, mereka berkunjung ke Amsterdam dan membelasah Wales 4-0 dan kali ini diiringi sekelompok kecil penyokong ke Azerbaijan dengan jarak 4,000 kilometer

Mereka meraikan gol pendahuluan pada minit kelima apabila Delaney yang tidak dikawal menanduk masuk bola sepakan sudut Jens Stryger Larsen.

Tiga minit sebelum rehat, Joakim Maehle mengumpan cantik untuk Dolberg menjaringkan gol kedua Denmark.

Jurulatih Czech, Jaroslav Silhavy membuat dua pertukaran ketika rehat dan penampilan Jakub Jankto serta Michael Krmencik berjaya membuahkan hasil segera.

Schick merapatkan kedudukan pada minit ke-49 untuk berkongsi dengan Cristiano Ronaldo sebagai penjaring terbanyak kejohanan dengan lima gol.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 2:21 AM