THIAGO (dua dari kanan) cuba menenangkan Vargas selepas berakhir aksi suku akhir antara Sepanyol dan Switzerland. FOTO Agensi
THIAGO (dua dari kanan) cuba menenangkan Vargas selepas berakhir aksi suku akhir antara Sepanyol dan Switzerland. FOTO Agensi
Agensi

St Petersburg: Tindakan Thiago Alcantara memujuk dan menenangkan pemain Switzerland, Ruben Vargas selepas aksi suku akhir Euro 2020 ternyata mendapat pujian.

Aksi yang berkesudahan dengan Sepanyol menang 3-1 dalam penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 di masa sebenar ternyata memberikan kesan mendalam buat pemain Switzerland terutama Vargas.

Selepas sepakan yang diambil Fabian Schar dan Manuel Akanji berjaya diselamatkan penjaga gol Sepanyol, Unai Simon, tendangan Vargas mula melambung tinggi melepasi palang sekali gus membuka ruang buat Mikel Oyarzabal menyudahkan gol kemenangan.

Vargas, 22, ternyata kecewa dan tidak dapat menahan kesedihan sebaik saja wisel penamat dibunyikan.

Lantaran itu, pemain tengah Liverpool, Thiago datang untuk menenangkan pemain berkenaan sambil memberikan kata-kata pembakar semangat.

Selepas itu rakan sepasukannya di Liverpool, Xherdan Shaqiri datang memeluknya sebagai tanda terima kasih di atas semangat kesukanan yang dipamerkan.

Thiago juga dilihat cuba untuk menenangkan penjaga gol lawan, Yann Sommer, yang bertindak cemerlang menyelamatkan sepakan penalti pemain tengah Manchester City, Rodri dan membantu Switzerland kekal bertahan sehingga ke penentuan penalti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 10:26 AM