MOHD Isa  yakin TFC mampu bangkit dalam pentas Piala Malaysia. FOTO Ihsan Mohd Isa Che Ariffin
MOHD Isa yakin TFC mampu bangkit dalam pentas Piala Malaysia. FOTO Ihsan Mohd Isa Che Ariffin
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kelab Penyokong Terengganu FC (TFC), menaruh harapan yang tinggi skuad kesayangan mereka, TFC mampu bangkit pada pentas Piala Malaysia yang bakal membuka tirainya pada Ahad ini.

Presidennya, Mohd Isa Che Ariffin berkata, walaupun bakal berdepan dengan laluan sukar selepas diundi dalam 'kumpulan maut' bersama juara 33 kali Piala Malaysia, Selangor FC, juara lapan kali Piala Malaysia, Perak FC dan pasukan di tangga ketiga Liga Perdana, beliau tetap percaya skuad kendalian Nafuzi Zain itu mempunyai kelebihannya yang tersendiri.

Bagaimanapun beliau mengharapkan akan ada perubahan dan rombakan terhadap pemain terutama yang gagal beraksi dengan baik sepanjang saingan Liga Super.

"Kami para penyokong tetap berdiri teguh di belakang pasukan lebih-lebih lagi misi kita untuk melihat skuad TFC mampu mengulangi pencapaian layak beraksi dalam saingan Piala AFC musim depan.

"Lagipun kami melihat skuad TFC ini ada kelebihannya terutama adunan pemain muda dan berpengalaman lebih-lebih lagi selepas menamatkan saingan Liga Super dalam kelompok empat teratas.

"Namun kami harapkan barisan jurulatih dapat merencana strategi baharu yang lebih berkesan lagi dengan perubahan daripada segi corak permainan selain perlu melakukan sedikit rombakan terutama bagi pemain yang prestasinya kurang memberangsangkan.

"Kami berpandangan barisan jurulatih boleh menggunakan kelebihan pemain lain yang ada seperti Jordan Mintah, Argzim Redzovic, Dechi Marcel dan beberapa lagi pemain daripada pasukan Terengganu FC II (TFC II) bagi memperkuatkan lagi pasukan.

"Kepada pemain, harapan tinggi disandarkan kepada mereka agar dapat memperagakan aksi lebih bertenaga demi mencapai kejuaraan dan seterusnya layak beraksi di pentas Asia selepas kami kempunan melihat aksi mereka musim ini sesudah kejohanan peringkat Kumpulan I dibatalkan," katanya.

Pada aksi pertama Ahad ini, gergasi Pantai Timur itu bakal berdepan dengan pasukan di tangga ketiga Liga Perdana di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Gong Badak sebelum membuat perhitungan dengan Selangor FC pada Rabu juga di SSMZA.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 September 2021 @ 6:01 PM