POLIS sedang melakukan pemeriksaan ke atas kereta yang dikatakan dipasang bom di Rom berdekatan venue Euro 2020. FOTO Agensi
POLIS sedang melakukan pemeriksaan ke atas kereta yang dikatakan dipasang bom di Rom berdekatan venue Euro 2020. FOTO Agensi
Agensi

Rom: Datuk Bandar Rom, Virginia Raggi mendedahkan terdapat bom di dalam kereta salah seorang pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) bandar berkenaan yang dikenali sebagai Marco Doria.

Menurutnya, kejadian berkenaan berlaku berdekatan dengan Stadio Olimpico dan sebelum sepak mula antara Itali, Switzerland untuk aksi kedua Kumpulan A Euro 2020.

"Bom dijumpai dalam kereta Marco Doria, presiden untuk pembangunan semula taman dan vila bersejarah di Rom. Perkara yang sangat serius, saya menyatakan solidariti penuh saya," kata Raggi menerusi ciapan di Twitter.

Bahan peledak yang dikatakan diperbuat dengan serbuk peluru dan bolt itu disambungkan di kereta berkenan.

Lokasi kereta itu hanya beberapa kilometer dari Stadio Olimpico iaitu gelanggang bagi Euro 2020.

Menurut laporan media tempatan, polis sudah mematikan bom berkenaan dan terdapat rakaman video yang menyaksikan kenderaan berkenaan dikelilingi oleh pihak berkuasa serta dikongsikan di media sosial.

Polis dilaporkan mengepung jalan-jalan di daerah Prati di ibu negara Itali berhampiran tempat bom itu ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 7:16 AM