REAKSI Chiellini selepas mengalami kecederaan. FOTO AFP
REAKSI Chiellini selepas mengalami kecederaan. FOTO AFP
AFP

Rom: Kapten Giorgio Chiellini berkata, tiada apa yang dapat mencemarkan kegembiraan Itali mara ke peringkat 16 terakhir Euro 2020 walaupun dia mengalami kecederaan paha pada babak pertama ketika menang 3-0 ke atas Switzerland di Rom awal pagi tadi.

Pertahanan Juventus berusia 36 tahun itu menjaringkan gol pada minit ke-20 namun dibatalkan selepas VAR mendapati bola terkena tangan di Stadio Olimpico dan empat minit kemudian dia minta dikeluarkan akibat kecederaan paha.

"Tiada apa yang dapat menjejaskan kegembiraan ini. Kami berada di pusingan kedua! Teruskan kejayaan!" kata Chiellini di Twitter selepas tamat perlawanan.

Pertahanan Lazio Francesco Acerbi menggantikannya dengan lilitan kapten diberikan kepada rakan sepasukan di Juventus, Leonardo Bonucci.

Chiellini berdepan kecederaan otot di paha kiri dan akan menjalani ujian lanjut hari ini, menurut jurucakap pasukan Itali.

"Kami harap tiada yang serius, kita tunggu esok,'' kata jurulatih Roberto Mancini.

Pertahanan yang mempunyai 109 kap itu muncul pemain Itali paling banyak beraksi di Kejohanan Eropah dengan 14 penampilan.

Itali mendahului 1-0 pada babak pertama hasil jaringan Manuel Locatelli pada minit ke-26 selepas mendapat hantaran daripada rakan sepasukan di Sassuolo, Domenico Berardi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 6:34 AM