Pengendali England, Gareth Southgate (tengah) memberi arahan kepada Kieran Trippier ketika perlawanan persahabatan menentang Austria. FOTO AFP
Pengendali England, Gareth Southgate (tengah) memberi arahan kepada Kieran Trippier ketika perlawanan persahabatan menentang Austria. FOTO AFP
AFP

London: Diperkuatkan dengan barisan pemain muda, pengendali England, Gareth Southgate melangkah ke Euro 2020 dengan harapan menamatkan penantian 55 tahun negara itu untuk menang kejohanan utama.

Southgate sudah melihat revolusi mengagumkan pemain mudanya sejak mengambil alih skuad England pada 2016 dan Kejohanan Eropah yang tertangguh itu akan menjadi tempat sempurna menuai hasilnya.

Berbekal purata usia 25 tahun tiga bulan, England akan ke kejohanan itu bersama skuad antara paling muda.

Namun selepas mara ke separuh akhir Piala Dunia 2018 dan empat terakhir Liga Negara-Negara setahun kemudian, Southgate percaya England ada peluang keemasan menang gelaran utama sejak Piala Dunia 1966.

Kejayaan ikonik itu hadir di laman sendiri dan Southgate adalah pemain England ketika mereka mara ke separuh akhir Euro 96 di Wembley.

Skuad dimiliki Southgate ketika ini akan dibantu jadual kejohanan yang boleh menyaksikan England bermain semua perlawanan kecuali satu di Wembley jika mereka mara ke final.

Ditanya sama ada penampilan selain di separuh akhir akan menjadi satu kegagalan, Southgate berkata: "Yeah, ia mungkin.

"Saya rasa kami realistik mengenainya, kami perlu hidup dengan jangkaan seperti itu.

"Adakah kami sudah bersedia untuk menang? Kami sudah berada dalam dua separuh akhir, jadi langkah seterusnya ialah pergi selangkah lagi."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Jun 2021 @ 11:35 AM