SUMAREH (kiri) dikatakan gagal kawal emosi semalam. FOTO ASWADI ALIAS.
SUMAREH (kiri) dikatakan gagal kawal emosi semalam. FOTO ASWADI ALIAS.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Ikut kata hati kelak binasa pasukan dan masa depan sebagai pemain bola sepak. Itu nasihat bekas pemain kebangsaan Datuk Jamal Nasir Ismail kepada barisan pemain negara supaya tidak melakukan tindakan 'kurang cerdik' sehingga boleh dibuang padang.

Pada perlawanan malam tadi tonggak naturalisasi negara Mohamadou Sumareh dilihat menumbuk pemain lawan selepas dia dikasari sebelum dikenakan layangan kad kuning oleh pengadil.

Tindakan terbabit dilihat agak keterlaluan malah layangan kad kuning itu juga adalah hukuman yang agak ringan memandangkan perbuatan Sumareh itu sengaja mencederakan pemain lawan.

Jamal berkata, pemain harus bijak mengawal emosi terutama apabila dikasari atau diprovokasi pihak lawan bagi mengelak dikenakan hukuman buang padang.

"Jika tak boleh terima akan dikasari oleh pemain lawan baik bermain dalam kelambu saja kerana itulah risiko sebagai seorang pemain bola sepak.

"Pada perlawanan sebenar seperti kelayakan Piala Asia 2023 kelak, sudah pasti akan dikenakan kad merah dan dibuang padang. Sudah tentu menyusahkan pasukan untuk meraih keputusan positif.

"Perlu ingat, setiap tindakan di atas padang akan mempengaruhi pasukan dan jangan mudah ringan tangan atau kaki hayun pemain lawan," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, skuad Harimau Malaya membenam Hong Kong 2-0 dalam perlawanan persahabatan Antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Dua gol kemenangan masing-masing pada minit ke-31 menerusi sepakan penalti Muhammad Safawi Rasid dan sepakan percuma Safiq Rahim pada penghujung perlawanan memastikan Malaysia meraih kemenangan menentang pasukan yang berada di ranking ke-147 dunia itu.

Skuad Harimau Malaya yang diletakkan dalam Kumpulan E dalam rangka persiapan mengharungi perlawanan kelayakan Piala Asia 2023 menentang Turkmenistan pada 8 Jun, Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2022 @ 6:16 PM