Penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane. FOTO AFP
Penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane. FOTO AFP
AFP

London: Penyerang Tottenham, Harry Kane memberi bayangan perpindahan ke Manchester City ketika spekulasi memuncak mengenai masa depannya kebelakangan ini.

Malah Kane menyatakan gandingan bersama bintang tengah kelab juara itu, Kevin De Bruyne menjadi impian setiap penyerang.

Kane dilaporkan memaklumkan Spurs dia mahu meninggalkan kelab itu pada penghujung musim dan kapten England itu dikaitkan dengan City, Manchester United dan Chelsea.

Kane kini meningkatkan potensi perpindahan ke skuad kendalian Pep Guardiola yang menjulang kejuaraan dengan bintang City, De Bruyne sebagai rakan sepasukan yang lengkap.

City dilaporkan berminat menandatangani pemain berusia 27 tahun itu tetapi Spurs dijangka tidak akan membenarkannya dengan mudah terutama ketika pemain berkenaan masih mempunyai kontrak bagi tiga tahun akan datang.

Kane berhasrat untuk kekal di saingan Liga Perdana dan apabila ditanya oleh bekas pertahanan Manchester United, Gary Neville siapakah pemain yang boleh membantunya menjaringkan lebih banyak gol Kane berkata: "De Bruyne sudah pasti.

"Apabila saya lihat aksi De Bruyne dia adalah istimewa, pemain yang istimewa dan beberapa gerakan jaringan gol untuk City saya lihat ia adalah impian bagi penyerang."

Kane menjaringkan 165 gol di Liga Perdana, 95 di belakang penjaring terbanyak sepanjang zaman Alan Shearer dan dia mahu mengatasi bekas penyerang Blackburn dan Newcastle itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Mei 2021 @ 10:01 PM