SALAH (dua kiri) menerima kritikan daripada Owen. FOTO AFP
SALAH (dua kiri) menerima kritikan daripada Owen. FOTO AFP
Agensi

London: Michael Owen mendakwa gandingan Liverpool, Mohamed Salah dan Sadio Mane bukanlah penyerang tulen selepas sekadar seri 1-1 dengan Newcastle semalam.

Salah menjaringkan gol hanya selepas tiga minit permainan tetapi juara bertahan Liga Perdana itu gagal memanfaatkan banyak peluang terbaik di Anfield sebelum Joe Willock menjaringkan gol penyamaan untuk Newcastle di hujung perlawanan.

Owen menyalahkan dua gandingan itu selepas keputusan berkenaan dan mengkritik karakter mereka di depan gol.

"Inilah masalahnya. Mane seorang pemain yang bijak dan menjaringkan banyak gol.

"Salah juga seorang pemain yang luar biasa, menjaringkan banyak gol," kata Owen.

"Tetapi kedua-duanya bukanlah penyerang tulen. Mereka bukanlah seorang yang anda boleh letakkan kepercayaan.

"Mereka dapat menjaringkan gol dengan konsisten kerana Liverpool memperoleh banyak peluang," katanya.

Liverpool melalui kempen hambar musim ini dan bergelut untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 8:57 PM