SANCHEZ mengakui terkilan selepas pasukan bimbingannya gagal mencipta kemenangan ke atas Kelantan FC. FOTO RIZAR MOHD NOOR
SANCHEZ mengakui terkilan selepas pasukan bimbingannya gagal mencipta kemenangan ke atas Kelantan FC. FOTO RIZAR MOHD NOOR
Rizar Mohd Noor

[email protected].

Johor Bahru: Pengendali Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Rafael Gil Sanchez menegaskan pasukan bimbingannya tidak sepatutnya seri 1-1 tatkala menentang Kelantan FC pada aksi Liga Perdana di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

Pengendali kelahiran Sepanyol itu jelas kecewa selepas barisan pemainnya hilang tumpuan pada minit ke-71 yang membolehkan skuad kendalian Marco Ragini bangkit menyamakan jaringan selepas mendahului 1-0 pada minit ke-59 jaringan Fernando Rodriguez dan keputusan 1-1 itu kekal sehingga tamat perlawanan.

"Di sebaliknya rasa puas hati dengan persembahan pemain yang turun tanpa dibantu beberapa pemain JDT, saya agak terkilan kerana kami ada sembilan peluang terbaik menjaringkan gol tapi hanya mampu cipta satu gol sahaja.

"Kami turunkan lapan pemain di bawah umur 22 tahun dan mereka tidak kekok bersaing dengan pasukan lawan yang jelas bermain dengan corak permainan keras. Namun pemain saya dapat mengatasi corak keras pasukan lawan.

"Apapun ia memberi pengajaran buat kami supaya lebih berhati-hati dalam aksi seterusnya kerana tiada guna mengawal permainan dan melakukan percubaan berbahaya tapi akhiran perlawanan misi capai kemenangan tidak berjaya," kata Sanchez.

Sementara itu, Ragini mengakui skuadnya bernasib baik untuk membawa pulang satu mata tatkala berdepan kesukaran menyenarai kesebelasan terbaik selepas beberapa tonggak utama mengalami kecederaan.

Katanya, jadual perlawanan yang padat menjejaskan perancangan membentuk barisan pemain mantap selepas pemain tampak keletihan dan tidak sempat untuk pulih bagi mengharungi aksi seterusnya.

"Apapun, saya puas hati dengan persembahan pemain yang mula memahami taktikal permainan yang diterapkan dan mereka sudah mula merapatkan jurang dan saya nampak semakin setara dengan pasukan lain yang beraksi dalam saingan liga.

"Pemain saya juga menunjukkan peningkatan dari aspek kematangan apabila berada dalam tekanan dan ia penting bagi mengelak pemain melakukan kesilapan mudah dan saya percaya dalam tempoh singkat mereka mampu atasi segala-galanya," kata Ragini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 April 2021 @ 11:52 AM