AUBAMEYANG mendapatkan rawatan di hospital kerana virus malaria. FOTO Instagram
AUBAMEYANG mendapatkan rawatan di hospital kerana virus malaria. FOTO Instagram
AFP

London: Kapten Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang mendedahkan bahawa dia dimasukkan ke hospital selepas dijangkiti malaria ketika aksi antarabangsa dengan Gabon bulan lalu.

Penyerang itu terlepas aksi ketika mereka melakarkan kemenangan 3-0 di Sheffield United Ahad lalu dan juga tidak diturunkan di separuh akhir Liga Europa menentang Slavia Prague awal pagi ini.

Arsenal berkata, kehilangan Aubameyang disebabkan 'sakit' dan tidak menjelaskan secara terperinci berhubung perkara itu namun beberapa minit sebelum rakan pasukan memulakan saingan di Republik Czech, pemain antarabangsa Gabon itu memaklumkan penyakitnya di Instagram.

"Hai semua, terima kasih atas mesej dan panggilan telefon.

"Saya dijangkiti malaria ketika bertugas bersama skuad kebangsaan di Gabon beberapa minggu lalu. Saya menghabiskan masa beberapa hari di hospital minggu ini namun keadaan saya semakin baik setiap hari.

"Terima kasih kepada doktor yang mengesan dan merawat virus ini dengan begitu cepat.

"Saya tidak merasakan diri saya beberapa minggu lalu tapi akan kembali dengan lebih kuat nanti. Saya akan menonton aksi rakan pasukan. Satu perlawanan yang besar untuk kami. Mari mula dan dapatkannya @arsenal.

Aubameyang memulakan perlawanan pertama menentang Slavia di bangku simpanan tetapi berjaya membantu Nicolas Pepe ketika permainan seri 1-1.

Penyerang berusia 31 itu menandatangani kontrak tiga tahun tahun namun bergelut untuk mendapatkan sentuhan terbaik musim ini dan tidak disenaraikan dalam skuad utama bulan lalu kerana tiba lewat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 April 2021 @ 7:54 AM