PEMAIN Negeri Sembilan, Rafael Gomes De Oliviera (tengah) diasak pemain Kuching City FC. FOTO Bernama
PEMAIN Negeri Sembilan, Rafael Gomes De Oliviera (tengah) diasak pemain Kuching City FC. FOTO Bernama
Mohd Amin Jalil


Seremban: Negeri Sembilan FC (NSFC) gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila terikat tanpa jaringan dengan Kuching City FC dalam saingan Liga Perdana, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, hari ini.

Skuad Hobin Jang Hobin seperti hilang rentak apabila tidak banyak percubaan tepat dan merbahaya dapat dilakukan.

Kuching City berpeluang menjaringkan gol pertama pada minit ke-13, namun sepakan dilakukan pemain tengah, Mohamad Rafiq Shah Mohamad Zain dari dalam kotak penalti lemah sekali gus mudah buat penjaga gol Negeri Sembilan Mohd Muhaimin Mohamad menyelamatkan gawang.

Kedua-dua pasukan dilihat berusaha keras untuk mendapatkan gol dan pemain mereka saling melakukan serangan dalam kawasan gol masing- masing.

Bagaimanapun barisan depan kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan apabila babak pertama berakhir tanpa jaringan.

Bersambung babak kedua, jentera serangan kedua-dua pasukan dilihat memantapkan serangan mereka dan saling melakukan serangan dengan beberapa percubaan ke dalam kawasan pintu gol.

Minit ke-63, percubaan pemain tengah tuan rumah, R Barathkumar dari jarak kira- kira 25 meter gagal menghasilkan gol apabila bola dapat ditangkap kemas penjaga gol pelawat. Mohd Iqbal Mohd Suhaimi.

Kuching City mendapat sepakan penalti selepas pertahanan tuan rumah, Nasrullah Hanif Johan tersentuh bola dalam kawasan kotak penalti pada minit ke-75, bagaimanapun Mohd Muhaimin bertindak cemerlang apabila berjaya menepis bola sepakan Bryan Jones Anicezio itu sekali gus terselamat pintu Negeri Sembilan.

Pemain berpengalaman pelawat Joseph Kalang Tie berpeluang memecah kebuntuan namun percubaannya dari dalam kotak penalti tepat ke arah Mohd Muhaimin.

Kedua-dua pasukan terus buntu mencari gol apabila perlawanan berkesudahan seri tanpa jaringan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 April 2021 @ 11:51 PM