Pemain Kuching City FC, Michael Ijiezie (tengah) cuba melepas kawalan pemain Kelantan United, Yuti Tanigawa pada aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang, hari ini. FOTO Ihsan Kuching City FC.
Pemain Kuching City FC, Michael Ijiezie (tengah) cuba melepas kawalan pemain Kelantan United, Yuti Tanigawa pada aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang, hari ini. FOTO Ihsan Kuching City FC.
Rizar Mohd Noor


Pasir Gudang: Kelantan United FC menempah slot terakhir layak ke saingan Piala Malaysia selepas menewaskan Kuching City FC 3-1 pada aksi tertunda Liga Perdana di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), hari ini.

Kemenangan dramatik skuad kendalian Nazrulerwan Makmor menyaksikan pasukan itu akan beraksi di Kumpulan C bersama Kedah Darul Aman FC, Melaka United FC dan juara Liga Perdana, Negeri Sembilan FC dan mengetepikan pencabar terdekat PDRM FC dengan kelebihan jaringan.

Pada pertembungan terakhir liga, skuad Kijang Hijau yang begitu dahagakan kemenangan terlepas peluang mencipta jaringan pada minit ke-18 selepas bola sepakan lintang Ariusdius Jais gagal disudahkan Alfusainey Gassama.

Selang seminit kemudian, anak didik Nazrulerwan Makmor berjaya memecah kebuntuan jaringan selepas gerakan menarik Shafizi Iqmal Md Khirudin yang memberanikan diri masuk ke dalam kotak penalti bertindak merembat bola kencang menewaskan penjaga gol, Mohd Iqbal Suhimi.

Ketika aksi memasuki minit ke-21, pasukan pelawat menambah jaringan hasil bola sepakan lintang Amirul Syafik Che Soh tepat kepada Gassama yang merembat kencang menewaskan Mohd Iqbal untuk kedudukan 2-0.

Namun pasukan tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil, G Ponggiannan pada minit ke-27 selepas Evan Wensley mengasari Zainuddin Bohri di dalam kotak penalti dan Michael Ijiezie menyudahkan sepakan itu menewaskan penjaga gol, Muhamad Fikri Che Soh.

Pada minit akhir babak pertama, Kelantan United kembali berkedudukan selesa 3-1 selepas bola sepakan percuma kapten Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi dari jarak 25 meter tepat ke penjuru kiri gawang menewaskan Mohd Iqbal yang sekadar melihat bola menerjah jaring.

Bersambung babak kedua, Kelantan United FC tampak menggandakan asakan dalam usaha menambah jaringan tapi peluang pada minit ke-62 hasil bola sepakan percuma Fakhrul Zaman gagal ditanduk kemas Yuki Tanigawa.

Kuching City FC yang ketinggalan berusaha memburu gol bagi merapatkan jurang gol namun benteng pasukan pelawat begitu ampuh untuk mengekalkan jaringan 3-1 dan kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 September 2021 @ 7:02 PM