SKUAD Harimau Malaya  berlatih di Pusat Latihan Johor Darul Ta'zim (JDT),  Johor Bahru. FOTO FAM
SKUAD Harimau Malaya berlatih di Pusat Latihan Johor Darul Ta'zim (JDT), Johor Bahru. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengakui sentiasa memantau atau 'mengintip' perkembangan terkini membabitkan pasukan lawan terutama Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang akan menjadi lawan pertama pada baki saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di UAE, Jun ini.

Menurut Cheng Hoe, intipan berkenaan penting bagi mengetahui kekuatan dan kelemahan pihak lawan untuk memudahkan beliau merangka strategi terbaik sepanjang latihan pusat kem negara di Pusat Latihan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Johor Bahru ketika ini.

Katanya, aksi persahabatan antara UAE dan India yang bakal berlangsung pada Isnin ini turut akan dipantau barisan kejurulatihan pasukan kebangsaan.

"Saya rasa kami barisan jurulatihan bukan saja memantau perlawanan UAE menentang India, kita juga sudah memantau perlawanan tahun lepas mereka menentang Uzbekistan, Tajikistan dan juga Bahrain.

"Kita dapat tahu maklumat mengenai kesebelasan utama mereka itu supaya dapat memberi kita gambaran apabila Jun nanti perlawanan pertama menentang UAE di tempat mereka," katanya.

Sebelum ini, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengesahkan UAE sebagai venue berpusat untuk baki perlawanan Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 membabitkan Malaysia, Thailand, Vietnam, Indonesia dan pasukan tuan rumah.

Berdasarkan jadual perlawanan, pasukan negara dijadualkan menghadapi UAE pada 3 Jun, peneraju kumpulan, Vietnam, pada 11 Jun, dan mengakhiri kempen peringkat kumpulan dengan menentang Thailand pada 15 Jun.

Selepas lima perlawanan di peringkat kumpulan, Harimau Malaya mengumpul sembilan mata untuk berada di tempat kedua di belakang Vietnam (11 mata), sementara Thailand berada di tempat ketiga dengan lapan mata, UAE (enam mata) dan Indonesia berada di tempat paling bawah tanpa sebarang mata.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mac 2021 @ 11:31 PM