SUBAHAN (kanan) dan Darren Lok (kiri) menunjukkan Jersi PJ City FC selepas sidang media pengumuman nama pemain Liga Malaysia 2021 di Petaling Jaya hari ini. FOTO Bernama
SUBAHAN (kanan) dan Darren Lok (kiri) menunjukkan Jersi PJ City FC selepas sidang media pengumuman nama pemain Liga Malaysia 2021 di Petaling Jaya hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Petaling Jaya: Pasukan Liga Super Petaling Jaya City FC (PJ City FC), terus memperkuatkan pasukan bagi menghadapi cabaran Liga Malaysia 2021 (Liga-M), dengan mengikat bekas penyerang kebangsaan dari Terengganu FC (TFC) Darren Lok.

Presiden PJ City FC Datuk Seri Subahan Kamal percaya, penyertaan pemain berusia 29 tahun itu ke dalam pasukan P Maniam itu, akan meningkatkan kuasa serangan pasukan bagi mengejar kejayaan musim hadapan.

Subahan juga mendedahkan yang pasukan itu sudah menandatangani pemain lain seperti bekas pemain kebangsaan, Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri dari Perak, K Prabakaran dari Selangor, selain pemain muda Felda United, Muhammad Faiz Mazlan, 23, dan Muhammad Syahmi Zamri, 20.

"Kami agak teruja untuk memiliki dia (Lok) dan K Gurusamy (ketua pasukan) yang menjadi perancang utama, dan kami percaya Gurusamy dan pemain lain yang sudah kami ikat kontrak akan menyerlah, selain menghasilkan kejutan pada musim hadapan," katanya pada sidang media di ibu pejabat kelab di sini hari ini.

Sementara itu Lok berkata, beliau gembira untuk menyertai PJ City FC yang hanya akan menggunakan khidmat pemain tempatan untuk Liga Malaysia 2021, dan berjanji untuk melakukan yang terbaik untuk pasukan Lembah Klang itu.

Lok juga menyatakan, kurangnya peluang untuk bermain sewaktu setahun bersama TFC musim ini, adalah antara sebab utama keputusannya berhijrah ke PJ City FC.

"Sebaik mengetahui yang pasukan ini akan hanya menggunakan khidmat pemain tempatan musim hadapan, ini sesuatu yang menarik minat saya.

"Saya sudah berada di Malaysia untuk lima tahun, saya lihat ramai pemain berkualiti yang Malaysia miliki. Ia tidak akan mudah untuk saya, kerana saya perlu bekerja lebih keras (untuk mendapat tempat dalam pasukan utama), tetapi saya amat teruja dengan cabaran baru bersama pasukan ini," katanya.

Sementara itu Maniam mendedahkan yang kelab itu kini sedang membuat pilihan terakhir keseluruhan pasukan untuk Liga-M 2021, yang akan bermula dengan perlawanan Piala Sumbangsih antara Juara Liga Super, Johor Datul Ta'zim dan pasukan di tempat kedua, Kedah di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri Johor pada 26 Feb 2021.

PJ City FC yang menamatkan Liga Super 2019 di tempat kelapan pada penampilan sulung mereka, menduduki tangga ketujuh, musim lepas di bawah kendalian K Devan yang berhijrah ke Negeri Sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2020 @ 11:48 PM