PEMILIK Leeds, Radrizziani turut berminat memiliki saham Valencia. FOTO Agensi
PEMILIK Leeds, Radrizziani turut berminat memiliki saham Valencia. FOTO Agensi
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Jutawan dari Itali, Andrea Radrizziani dikaitkan antara pencabar utama Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk membeli kelab LaLiga, Valencia FC yang dianggarkan bernilai 408 juta euro atau bersamaan RM1.99 bilion.

Menurut laporan media Sepanyol, akhbar Marca, Radrizziani yang juga pemilik kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Leeds United turut berminat untuk memiliki saham Valencia.

Bagaimanapun sehingga kini, masih belum ada lagi sebarang pengumuman rasmi daripada Radrizziani berbanding Tunku Ismail yang membayangkan kemungkinan bersedia untuk mendapatkan skuad The Bats atau dalam bahasa Sepanyol, Los Murcielagos itu.

Begitupun, ramai pemerhati melihat peluang Tunku Ismail yang juga pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) lebih cerah memiliki Valencia memandangkan hubungan akrabnya dengan pemilik semasa iaitu Peter Lim dari Singapura.

TUNKU Ismail (kiri) pernah menerima kehadiran Radrizziani yang melawat kelab itu pada 2017. FOTO FB JOHOR Southern Tigers
TUNKU Ismail (kiri) pernah menerima kehadiran Radrizziani yang melawat kelab itu pada 2017. FOTO FB JOHOR Southern Tigers

Hubungan kedua-dua tokoh itu bukan rahsia buat peminat bola sepak di seluruh dunia apabila difahamkan Peter Lim antara mentor Tunku Ismail ketika mula-mula beliau membina pasukan JDT.

Malah, kedua-duanya juga sering menghadiri majlis bola sepak bersama termasuk ketika bertemu di Turin, Itali pada tahun lalu yang turut disertai pemenang lima kali Ballon d'Or, Cristiano Ronaldo dan ejen pemain, Jorge Mendes.

Ketika ini, Valencia menduduki kedudukan ke-14 La Liga selepas melalui 25 perlawanan dengan 27 mata dan hanya dibezakan dengan lima mata daripada zon penyingkiran.

Situasi terbabit nyata tidak disenangi penyokong Valencia yang tidak berpuas hati terutama tindakan Peter Lim yang membiarkan penghijrahan beramai-ramai pemain utama ke pasukan lain hingga menjejaskan prestasi pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mac 2021 @ 6:31 PM