PELE menunjukkan isyarat bagus ketika menerima suntikan vaksin Covid-19. FOTO EPA
PELE menunjukkan isyarat bagus ketika menerima suntikan vaksin Covid-19. FOTO EPA
AFP

Sao Paulo: Legenda bola sepak Brazil, Pele, 80, menerima suntikan vaksin Covid-19 dan mengakui ia detik yang tidak akan dapat dilupakan.

Beliau juga menggesa agar orang ramai juga mengambil suntikan berkenaan bagi menghalang daripada dijangkiti virus yang boleh membawa maut itu.

"Hari ini adalah saat yang tidak akan dapat saya lupakan. Saya sudah menerima vaksin," katanya di media sosial, Instagram.

Pesanan berkenaan turut disertakan dengan gambar Pele memakai pelitup muka dan memberi isyarat bagus ketika menerima suntikan.

"Pandemik ini belum berakhir. Kita harus kekal berdisiplin untuk menyelamatkan nyawa manusia kerana masih ramai lagi belum menerima vaksin.

"Pandemik ini akan berakhir jika kita memikirkan dan membantu sesama sendiri," kata Pele.

Bagaimanapun, pasukan media Pele masih belum menjawab jenis vaksin yang disuntiknya, sama ada ia dos pertama atau kedua.

Satu-satunya pemain yang memenangi tiga Piala Dunia 1958 (Sweden), 1962 (Chile) dan 1970 (Mexico) melakukan kuarantin kendiri di rumahnya di Sao Paulo sejak krisis kesihatan itu bermula sehingga mengorbankan 255,000 nyawa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mac 2021 @ 11:00 AM