AZAM (kanan) teruja dapat berlatih bersama bekas bintang Aston Villa, Christopher Herd. FOTO ihsan TFC
AZAM (kanan) teruja dapat berlatih bersama bekas bintang Aston Villa, Christopher Herd. FOTO ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: "Walaupun tidak berpeluang beraksi di pentas tertinggi, tapi dapat belajar dengan bekas pertahanan Aston Villa, Christopher Herd sudah cukup bertuah," kata pertahanan muda Terengganu FC (TFC), Muhammad Azam Azmi Murad.

Bekas pertahanan kanan skuad Bawah-19 Tahun negara musim lalu itu juga akui teruja berada dalam satu pasukan dengan pemain yang pernah beraksi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Malah pemain muda meningkat naik berusia 20 tahun itu menyifatkan kehadiran pemain kelahiran Australia itu mampu mematangkan lagi penampilannya bersama skuad Penyu musim ini.

"Herd seorang pemain yang tidak kedekut ilmu walaupun pernah beraksi bersama kelab tersohor dunia, sejak mula menjalani latihan awal Januari lalu, dia turut berkongsi kepakaran dengan saya dan rakan sepasukan bagaimana untuk menjadi pemain pertahanan yang berkualiti.

"Herd ajar bagaimana teknik bertahan dengan betul selain masa yang sesuai untuk 'tackle' pemain lawan serta paling penting komunikasi dan kombinasi dengan rakan sepasukan lebih-lebih lagi kami berada di benteng terakhir selain penjaga gol.

"Dengan peluang yang ada ini lebih-lebih lagi pengalaman luas dimiliki Herd yang pernah menyarung jersi tiga kelab di EPL termasuk Aston Villa, Bolton Wanderers dan Wigan Athletic, jadi rugi jika kami tidak belajar dengannya.

"Begitu juga dengan kehadiran pemain pertahanan kacukan Filipina-Sepanyol, Carli De Murga selain tunjuk ajar daripada barisan jurulatih, harapan tinggi saya untuk mengintai peluang berada dalam kesebelasan utama pasukan apatah lagi musim ini TFC beraksi dalam saingan Piala AFC," katanya.

Mengulas pembatalan Kejohanan Piala AFC Bawah-19 Tahun di Uzbekistan, Azam akui kecewa namun nekad mengintai peluang mewakili skuad kebangsaan dalam pentas Sukan SEA di Vietnam tahun ini.

"Sudah tentu saya kecewa, tapi harap pentas Sukan SEA tahun ini saya tersenarai mewakili skuad kebangsaan untuk membantu pasukan merangkul pingat emas," katanya yang mengakui sedikit terkesan kerana tidak dapat turun ke padang menjalani latihan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 18 Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2021 @ 6:08 PM