ARTETA (kanan), Joe Willock (tengah) dan David Luiz meninggalkan padang selepas tewas kepada Everton. FOTO AFP
ARTETA (kanan), Joe Willock (tengah) dan David Luiz meninggalkan padang selepas tewas kepada Everton. FOTO AFP
Agensi

London: Prestasi buruk yang dipamerkan Arsenal menyaksikan kelab itu mungkin boleh tersingkir dari Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, kata Alan Shearer.

Bekas kapten England itu juga mengkritik kualiti dan sikap yang dipamerkan oleh barisan pemain Gunners.

Skuad bimbingan Mikel Arteta tewas 1-2 di Everton hari ini, kekalahan kelapan mereka sepanjang 14 aksi Liga Perdana setakat ini.

Ia juga adalah kekalahan kelima berturut-turut mereka di tempat lawan dan keputusan terbaharu itu menyaksikan Arsenal kini menjunam di tangga ke-15, hanya empat mata daripada zon penyingkiran.

Pencapaian Arsenal itu adalah yang paling buruk sejak kempen 1974-75 dan Shearer tanpa berselindung meramalkan Gunners tidak mustahil menamatkan saingan musim ini di kelompok tiga terbawah sekali gus tersingkir dari EPL.

Ditanya adakah Arsenal akan bangkit semula, Shearer berkata: "Saya tak berapa pasti. Mungkin tidak jika dengan barisan pemain sama dan sikap segelintir pemain.

"Teruk, tiada kreativiti, pemain tak dapat mengawal emosi, tidak bekerja keras dan tidak menutup ruang.

"Mikel Arteta seharusnya berasa bimbang jika bergantung kepada barisan pemain sama dalam usaha menyelamatkan jawatannya."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2020 @ 11:39 PM