Mohamad Muhaimin. FOTO Ihsan PBNS
Mohamad Muhaimin. FOTO Ihsan PBNS
Mohd Amin Jalil


Seremban: Dua bekas pemain Felda United FC menjadi anggota baharu skuad Negeri Sembilan (NS) yang kini dalam persiapan membentuk pasukan mantap bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Mereka ialah penjaga gol, Mohamad Muhaimin Mohamad, 29, dan pemain pertahanan, Osman Yusoff, 26.

Sumber Kelab Bola Sepak Negeri Sembilan (NSFC) berkata, kedua-dua pemain berkenaan sudah menandatangani kontrak dengan pasukan itu petang semalam.

"Muhaimin dan Osman selesai menandatangani kontrak petang semalam.

"Kedua-dua mereka adalah pemain berpengalaman yang diyakini akan dapat membantu menambah kekuatan pasukan terutama di posisi pertahanan," katanya.

Berbanding Muhaimin, Osman yang berasal dari Kedah, tidak asing lagi bagi pasukan Negeri Sembilan kerana pernah bersama skuad berkenaan pada 2018 dan 2019.

Bagi Muhaimin pula, penjaga gol berpengalaman itu sudah membuktikan kemampuannya menjaga gawang dengan baik.

"Kita percaya kedua-dua pemain ini akan dapat memberikan sumbangan terbaik kepada pasukan Negeri Sembilan sepanjang saingan musim depan," kata sumber itu.

Setakat ini, dua pemain pertahanan iaitu bekas pemain Terengganu FC, Nasrullah Hanif Johan dan bekas pemain Melaka United, Annas Rahmat, turut memperkuatkan bahagian pertahanan pasukan itu.

Selain kehadiran dua bekas pemain Petaling Jaya City (PJ City) iaitu R Aroon Kumar dan R Barathkumar pula bakal memperkuatkan jentera tengah skuad Rusa.

Dalam pada itu, bekas penyerang Kedah, Mohamad Zaquan Adha Radzak yang kembali bersama pasukan negeri kelahirannya itu dikatakan bakal dilantik sebagai kapten pasukan.

Baru-baru ini, NSFC mengumumkan pelantikan bekas pengendali PJ City, K Devan sebagai ketua jurulatih baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2020 @ 6:24 PM