Datuk Hamidin Mohd Amin menjawab soalan media ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Rakan Kongsi Liga ke 4 MFL 2020. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Datuk Hamidin Mohd Amin menjawab soalan media ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Rakan Kongsi Liga ke 4 MFL 2020. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Firdaus Hashim


Putrajaya: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mempertahankan keputusan melantik bekas pemain kebangsaan, Yusri Che Lah sebagai pengendali skuad Projek FAM-MSN (Majlis Sukan Negara) yang akan beraksi di Liga Perdana musim depan.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, keupayaan seseorang jurulatih itu sebenarnya tidak boleh diukur dengan pencapaian ketika bergelar pemain semata-mata, kerana pemain hebat tidak semestinya boleh menjadi jurulatih terbaik.

Katanya, Yusri memiliki kelayakan tinggi untuk membolehkan dirinya dipilih oleh Jawatankuasa Teknikal yang terdiri daripada wakil FAM dan MSN.

"Saya kira Jawatankuasa Teknikal dah bermesyuarat, saya rasa Yusri Che Lah ada Lesen Pro dan dia jurulatih yang sedang membangun.

"Jurulatih ini kita tak boleh nilai dia bintang (ketika bergelar pemain) ke dia boleh jadi (jurulatih terbaik). Kalau dia Zainal Abidin Hassan sebagai bintang (ketika bermain dulu), ada masa dia berjaya apabila bawa Pahang juara dulu, betul... tapi lepas itu dia menurun.

"Jadi ini kita bukan boleh kira begitu, tapi Yusri Che Lah saya rasa banyak pihak pun gembira dengan dia. Kita bagi peluang lah kat dia, semua orang pun boleh.

"Itu pandangan Khalid Ali lah (dakwa Yusri tak layak). Tapi kita dah buat semua proses temu duga. Kita kena bagi peluang kepadanya untuk," katanya pada sidang media Mesyuarat Rakan Kongsi Liga Ke-4 MFL yang berlangsung hari ini.

Sebelum ini, bekas pemain Harimau Malaya era 80an, Khalid Ali membidas pelantikan Yusri yang juga bekas pengendali Kelantan dan Kuala Lumpur sebagai jurulatih skuad Projek FAM-MSN.

Sementara itu, Arena Metro cuba mendapatkan Yusri, namun pengendali yang berasal dari Perlis itu enggan memberi sebarang reaksi sebaliknya meminta masa sebelum mengeluarkan kenyataan berhubung jawatannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2020 @ 5:48 PM