PEMAIN Chelsea kecewa selepas mereka gagal mencatat kemenangan ketika berdepan Wolves awal pagi tadi. FOTO AFP
PEMAIN Chelsea kecewa selepas mereka gagal mencatat kemenangan ketika berdepan Wolves awal pagi tadi. FOTO AFP
AFP

Wolverhampton: Frank Lampard menyedari Chelsea terlalu leka sehingga menyebabkan mereka gagal menggunakan kesempatan mendahului perlawanan sebelum tumpas 1-2 kepada Wolves sekali gus mencatat kekalahan berturut-turut Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali pertama sejak di bawah bimbingannya.

Dua kali dalam tempoh empat hari Chelsea melepaskan peluang untuk melonjak ke tangga teratas EPL selepas kalah buat kali pertama sejak 18 perlawanan di Everton Sabtu lalu.

Lampard sendiri mempersoalkan kemampuan pasukannya untuk merebut gelaran juara liga selepas kalah 0-1 di Goodison Park hujung minggu lalu dan percaya pemainnya menanggung bebanan berat selepas mengekalkan rekod tanpa kalah.

"Persembahan akan mencerminkan keputusan. Kami bermain sangat baik, selepas sudah lama tidak dikalahkan dan mungkin disebabkan pemain asyik terfikir mereka sudah selesa. Jika anda mula terfikir sudah bermain dengan baik, di saat itulah sesuatu yang tidak betul akan berlaku," katanya yang tersentak dengan jaringan kemenangan lawan melalui Pedro Neto pada masa kecederaan.

Lebih banyak bukti ditunjukkan bahawa Chelsea masih dalam fasa perubahan apabila dua pemain termahal mereka, Timo Werner dan Kai Havertz gagal menyerlah.

Skuad bimbingan Lampard kekal di tangga kelima, tiga mata ketinggalan di belakang pendahulu liga Tottenham dan Liverpool, tatkala kedua-dua pasukan berkenaan bakal berentap sesama sendiri awal pagi esok di Anfield.

Wolves berhak meraih kemenangan untuk bangkit daripada dua kekalahan berturut-turut sejak kehilangan penjaring terbanyak mereka, Raul Jimenez yang mengalami retak tengkorak.

"Kami berjaya bangkit dengan baik. Saya rasa kami sentiasa bermain dengan corak tersendiri. Kami lebih tersusun dan pada separuh masa kedua bermain sangat baik," kata pengurus Wolves, Nuno Espirito.

Olivier Giroud memberikan gol awal empat minit selepas bermula babak kedua namun Daniel Podence berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-66.

Neto kemudian meledak selepas serangan balas pantas sebelum perlawanan tamat lalu membawa Wolves ke pertengahan liga dan tiga mata daripada kelompok empat teratas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2020 @ 7:41 AM