LILIPALY dikaitkan dengan Kedah untuk aksi musim baru tahun depan. FOTO Ihsan Bali United FC
LILIPALY dikaitkan dengan Kedah untuk aksi musim baru tahun depan. FOTO Ihsan Bali United FC
Izzali Ismail


Alor Setar : Kedah masih merahsiakan siapakah calon pemain import kuota Asean yang mahu dimilikinya untuk persiapan aksi musim baharu dan Piala AFC 2021.

Menurut sumber, Kedah masih tidak mahu mendedahkan calon pemain berkenaan dan teka-teki mengenai persoalan itu bakal terjawab pada tempoh pramusim yang akan bermula bulan depan.

Beberapa nama menjadi bualan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan terutama dilaman media sosial antaranya ialah Stefano Lilipaly dari kelab Bali United, Riko Simanjuntak yang beraksi bersama kelab Persija Jakarta, pemain Vietnam Nguyen Quang Hai, Mike Ott dari Filipina dan termasuk juga beberapa nama lain dari Singapura yang turut dikaitkan dalam spekulasi berkenaan.

"Kita tidak dapat mendedahkan siapa yang sedang kita sasarkan sebagai calon pemain kuota Asean buat masa ini, namun tunggulah sehingga pramusim nanti dan kita harap perkara ini dapat kita muktamadkan," katanya.

Dalam perkembangan yang sama, turut difahamkan setakat ini Kedah masih mengekalkan tiga importnya iaitu Kpah Sherman, Kipre Tchetche yang menyertai Kedah sejak musim 2020 dan Renan Alves yang juga bersama Kedah sejak 2019.

Turut menjadi perhatian pemerhati sukan bola sepak tanah air ialah pemain kelahiran Lebanon Rabih Ataya yang turut dilaporkan melalui media sosial akan bersama skuad Lang Merah untuk musim depan.

Selain pemain import, tiga pemain tempatan iaitu Arif Farhan Md Isa, Rodney Celvin dan Syazwan Zainon turut dijangka untuk memperkuatkan barisan Lang Merah sekali gus merancakkan perancangan yang akan dilakukan ketua jurulatih Aidil Sharin Sahak.

Perkembangan yang juga dinantikan adalah calon pengganti untuk penjaga gol ketiga Kedah iaitu Azri Abdul Ghani masih menjadi persoalan, di mana dia dikaitkan dengan sebuah pasukan di utara tanah air.

Kedah akan membuat perhitungan berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk merebut Piala Sultan Ahmad Shah sebagai perlawanan pembuka tirai musim Liga Malaysia yang dijadualkan pada 26 Februari 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2020 @ 7:56 PM