AIDIL Sharin Sahak. FOTO Nur Aisyah Mazalan
AIDIL Sharin Sahak. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Izzali Ismail


Alor Setar: Seorang pemain dari Timur Tengah kini menjadi sasaran Kedah Darul Aman FC (KDA FC) bagi memperkuatkan jentera serangan skuad Sang Kenari pada musim ini sebaik jendela perpindahan kedua dibuka.

Menurut ketua jurulatih KDA FC, Aidil Sharin Sahak, pihaknya sedang dalam rundingan memilih pemain posisi tengah itu bagi menggantikan kuota Asia selepas Jang Suk Won diumum tidak lagi bersama pasukan itu.

"Ada beberapa calon yang sedang kita sasarkan dan antaranya seorang pemain dari Timur Tengah yang kini berada dalam proses rundingan.

"Namun itu bergantung kepada beberapa terma dan syarat yang perlu diterima dan dipersetujui bagi kepentingan kedua-dua belah pihak sebelum dapat dimuktamadkan.

"Kami sedang bekerja keras bagi memastikan kemasukan pemain baharu pada tempoh jendela perpindahan kali ini dapat memberi kesan terbaik buat pasukan yang akan menempuhi sambungan Liga Malaysia dan Piala AFC pada bulan depan," katanya.

Sementara itu, seorang lagi pemain kuota Asean dari Thailand turut dikaitkan dengan KDA FC susulan kecederaan kaki yang panjang dialami Dennis Buschening.

"Sebaik jendela perpindahan dibuka, kami sedang menilai pemain kuota Asean yang bersesuaian dan sekiranya Dennis Buschening tidak dapat kembali beraksi dalam tempoh terdekat ini, ia pasti akan memberi kesan kepada pasukan.

"Pemain import Thailand itu antara beberapa nama lain yang sedang kami rancang dan teliti. Sekiranya berjalan lancar, kami akan umumkan nanti dan saya berharap peminat bersabar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mei 2022 @ 4:52 PM