KLOPP memuji barisan pemainnya walaupun hanya mencatat keputusan seri berdepan City. FOTO AFP
KLOPP memuji barisan pemainnya walaupun hanya mencatat keputusan seri berdepan City. FOTO AFP
AFP

London: Jurgen Klopp memuji barisan 'merbahaya' Liverpool walaupun mereka terlepas peluag untuk kembali ke tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas seri 1-1 menentang Manchester City.

Pengurus Liverpool itu menurunkan tonggak paling digeruni di Etihad termasuk Sadio Mane, Mohamed Salah, Roberto Firmino dan Diogo Jota.

Mereka bermula cemerlang di Etihad dengan Salah menyempurnakan sepakan penalti minit ke-13.

Gabriel Jesus menyamakan kedudukan untuk anak buah Pep Guardiola dan City terlepas peluang keemasan mendahului permainan apabila Kevin De Bruyne gagal memanfaatkan penalti tiga minit sebelum rehat.

Perkongsian mata itu menyaksikan Liverpool kini di tangga ketiga, satu mata di belakang pendahulu, manakala City lima mata dan bermain kurang satu perlawanan.

"Permainan bola sepak yang hebat. Dua pasukan hebat bersedia untuk pertarungan besar dan tenaga kedua-dua pasukan menakjubkan.

"Kami amat bagus dan merbahaya. Ada ketika kami terlalu banyak melakukan hantaran jauh," kata Klopp.

Bagi Guardiola pula keputusan seri berkenaan boleh diterima terutama selepas pasukannya gagal menyempurnakan penalti.

"Kami menjaringkan gol yang bagus dan malangnya sepakan penalti tersasar.

"Dalam perlawanan menentang lawan seperti Liverpool, jika penalti anda tersasar, ia lebih sukar," kata Guardiola.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2020 @ 9:47 AM