AB Rasid optimis TFC mampu melangkah lebih jauh dalam saingan Piala Malaysia musim ini. FOTO Ihsan TFC
AB Rasid optimis TFC mampu melangkah lebih jauh dalam saingan Piala Malaysia musim ini. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Beraksi di laman sendiri selain prestasi semasa pasukan berada pada tahap terbaik bakal memberi kelebihan kepada Terengganu FC (TFC) merakam kemenangan bertemu dengan Petaling Jaya (PJ) City pada aksi Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak malam esok.

Demikian keyakinan disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Terengganu FC (TFC) Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh yang optimis skuad TFC mampu membenam cabaran PJ City.

"Kita optimis pasukan TFC mampu rakam kemenangan bertemu pasukan PJ City lebih-lebih lagi beraksi di laman sendiri biarpun tanpa kehadiran peminat setia serta prestasi semasa pasukan.

"Keyakinan ini berdasarkan kelebihan menghuni di kedudukan ketiga Liga Super serta semangat melawan yang tinggi dipamerkan pemain sepanjang liga.

"Selain itu jika kita lihat daripada segi jurulatih dalam kedudukan lima pasukan terbaik liga, pengendalinya adalah dari luar berbanding Terengganu jurulatih tempatan, jadi beliau (Nafuzi) telah membuktikannya walaupun bersaing dengan jurulatih import, ini adalah kekuatan kepada pasukan TFC," katanya kepada Sukan NSTP.

Pada aksi Liga Super musim ini, skuad Penyu berjaya menundukkan skuad The Pheonix itu 2-0 hasil jaringan ayam tambatannya, Dominique da Sylva.

Mengenai misi TFC dalam saingan piala edisi ke-99 itu, beliau yang baharu mengambil alih pengurusan pasukan bermula pertengahan bulan lalu tetap meletakkan impian untuk muncul juara walaupun laluannya tetap berliku.

"Misi tahun ini adalah 'win back mission' iaitu menjadi juara Piala Malaysia kerana ia juga menjadi tiket kepada kita untuk layak beraksi dalam pentas Piala AFC tahun depan sekiranya keadaan pandemik wabak Covid-19 itu normal.

"Walaupun sebelum ini di bawah pengurusan lama, tapi kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan TFC mampu meraih gelaran itu meskipun saya akui persaingan pasti sengit lebih-lebih lagi format baharu pertandingan iaitu kalah mati," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2020 @ 6:18 PM