AKSI Saarvindran (dua dari kiri) ketika JDT II menentang Kelantan dalam aksi Liga Perdana  di Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bharu pada Jun lalu.
AKSI Saarvindran (dua dari kiri) ketika JDT II menentang Kelantan dalam aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bharu pada Jun lalu.
Malik Muhamad


KEINGINAN yang tinggi untuk beraksi dalam pentas Liga Super mendorong bekas pemain sayap Johor Darul Tazim II (JDT II), D Saarvindran memilih Terengganu FC (TFC) sebagai destinasi musim depan.

Pemain kelahiran Kampung Jalan Tepi Sungai, Klang, Selangor berusia 27 tahun itu juga berhasrat mengembangkan lagi bakat sekali gus mahu sekali lagi mengetuk ‘pintu’ skuad kebangsaan.

“Saya tidak ada masalah bersama JDT II dan seronok beraksi bersama pasukan itu selama tiga tahun dan saya memilih TFC yang beraksi dalam saingan Liga Super untuk mengembangkan lagi karier selepas dilepaskan pasukan berkenaan.

“Ini kerana saya berhasrat untuk menyarung semula jersi skuad kebangsaan selepas hanya sekali beraksi sebelum ini selain pernah bermain dengan pasukan bawah 21 dan 23 tahun serta Harimau Muda A.

“Selain TFC, saya juga ada berbincang dengan pengurusan Pahang, Selangor dan Perak untuk beraksi bersama dengan salah satu pasukan itu tetapi sudah jodoh saya bersama Terengganu musim 2020.

“Satu lagi mungkin rezeki anak sulung kami, Sree Aadhieran yang lahir pada 6 Oktober lalu,” ujar Saarvindran.

Pada aksi persahabatan pramusim bertemu Kelantan Jumaat lalu yang berkesudahan 3-3, pemain yang lebih mesra dipanggil Sarvi itu meledak satu gol manakala dua jaringan lagi dihasilkan menerusi penyerang baru dari Mauritania, Dominique Da Sylva.

“Impian saya bersama TFC untuk memberikan aksi terbaik pada setiap perlawanan selain membantu pasukan menjulang sekurang-kurangnya satu trofi musim 2020.

“Jika semua pemain beraksi dengan baik, saya berkeyakinan skuad kendalian Nafuzi Zain ini antara pencabar terkuat musim depan berdasarkan barisan pemain yang ada,” ujar Saarvidran yang mengikat kontrak selama setahun bersama TFC.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Disember 2019 @ 1:22 PM