KECERIAAN jelas terpancar di wajah Pearly dan Thinaah. FOTO Instagram rexy9627
KECERIAAN jelas terpancar di wajah Pearly dan Thinaah. FOTO Instagram rexy9627
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky memberi bayangan konflik membabitkan beregu utama wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah sudah berakhir.

Menerusi hantaran di Instagram miliknya, legenda Indonesia itu memuat naik gambar kedua-dua anak buahnya yang bersalaman sesama mereka sambil tersenyum ketika sesi latihan di ABM, Bukit Kiara.

"Kedua-duanya kembali mengukir senyuman dan bakal berjuang untuk Terbuka Malaysia 2024. Bersama-sama, mereka akan menjadi lebih kuat dan memerlukan antara satu sama lain dalam usaha untuk mencapai impian mereka pada 2024," tulis Rexy dalam hantaran berkenaan.

Pada saingan Masters China bulan lalu, Pearly-Thinaah mencetuskan persoalan adakah mereka bergaduh sehingga menyebabkan tersingkir seawal pusingan pertama.

Persoalan yang timbul di media sosial itu selepas tular video menyaksikan kedua-dua pemain itu saling tidak melihat wajah masing-masing serta tiada komunikasi antara mereka ketika bertemu lawan dari Korea Selatan, Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong.

Tahun ini bukan musim membanggakan untuk Pearly-Thinaah apabila muncul naib juara dua kali iaitu ketika Masters Malaysia dan Terbuka Hong Kong selain gagal mempertahankan kejuaraan Terbuka Perancis yang dimenangi mereka tahun lalu selepas terpaksa menarik diri susulan kecederaan belakang dialami Pearly.

Pearly-Thinaah yang diletakkan sebagai prospek untuk memenangi pingat di Sukan Olimpik Paris tahun depan akan memulakan cabaran musim 2024 bermula di Terbuka Malaysia dari 9 hingga 14 Januari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2023 @ 4:26 PM