AARON (kiri) dan Wooi Yik tersenyum lebar selepas muncul juara Terbuka Denmark. FOTO FB AARON CHIA
AARON (kiri) dan Wooi Yik tersenyum lebar selepas muncul juara Terbuka Denmark. FOTO FB AARON CHIA
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia ternyata lega kerana selepas ini tidak akan ada lagi soalan bila anda akan dapat kejuaraan sulung Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF), selepas dia dan Soh Wooi Yik merangkul kejuaraan Terbuka Denmark, semalam.

Menurut Aaron, satu kelegaan yang amat sangat apabila mereka akhirnya menamatkan kemarau selepas sebelum ini hanya terkenal dengan gelaran pasangan naib juara Jelajah Dunia BWF.

"Selepas ini soalan yang akan ditanya (akan berubah) bila pula anda akan memenangi gelaran kedua," katanya selepas mengatasi lawan dari Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana dengan keputusan straight set 21-13, 21-17 pada aksi final di Arena Jyske Bank, Odense.

"Memang gembira dapat gelaran sulung Jelajah Dunia BWF, memang sudah tunggu lama (saat ini). Satu lagi yang membuatkan kami gembira adalah kami tidak pernah berputus asa.

"Memang sudah bergandingan lama dan masing-masing menunggu kejuaraan pertama.

"Akhirnya sudah dapat dan kami akan memburu lebih banyak kejayaan selepas ini," kata pemain kelahiran Melaka itu.

Jelas Aaron, sentiasa percaya diri sendiri adalah perkara paling penting buat mereka selama enam tahun bergandingan dan tidak pernah menyerah kalah.

"Sudah banyak pentas akhir kami tempuhi, malah sudah mendapat medal di Kejohanan Dunia.

"Bagaimanapun, kami sentiasa memburu kejayaan pertama Jelajah Dunia BWF dan sekarang ia berjaya direalisasikan.

"Perkara paling penting sehingga dapat meraih kejayaan minggu ini (minggu lalu) adalah konsisten dalam setiap perlawanan.

"Sebelum ini ada naik dan turun, bermain baik hari ini, esok beraksi dengan teruk. Minggu ini konsisten tidak banyak naik turun, kami kekalkan prestasi mantap," katanya.

Sementara itu, Wooi Yik seakan tidak percaya apabila mereka berjaya menamatkan kemarau tatkala sebelum turun ke gelanggang mereka tidak fikir akan menang atau mampu muncul juara.

"Hari ini (semalam) adalah hari yang ditunggu. Saya rasa sangat gembira, ia satu motivasi buat kami.

"Sudah banyak perlawanan akhir kami lalui tetapi tidak berjaya, jadi ini adalah motivasi buat kami untuk terus mengorak langkah, ia adalah proses," katanya.

Hasil kejayaan di Terbuka Denmark yang berstatus Super 750 itu, Olahragawan 2022 itu membawa pulang hadiah wang tunai US$62,900 (RM299,875) dan 11,000 mata BWF.

Mereka dijadual menyertai Terbuka Perancis bermula esok hingga 29 Oktober.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2023 @ 4:33 PM