ZII JIA mara ke final Terbuka Arctic menentang Tze Yong. FOTO NSTP
ZII JIA mara ke final Terbuka Arctic menentang Tze Yong. FOTO NSTP
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Lee Zii Jia terpaksa menunggu setahun untuk layak ke pentas final selepas menewaskan wakil Denmark, Anders Antonsen di separuh akhir Terbuka Arctic, Finland sebentar tadi.

Kali terakhir dirinya layak bermain di final adalah Oktober tahun lalu di Terbuka Denmark sebelum tewas kepada Shi Yuqi dari China.

Sebelum itu, Zii Jia mempamerkan permainan bertenaga di set pertama dan kurang melakukan kesilapan untuk mencatat kemenangan 21-17.

Di set kedua, pemain negara itu memperkemaskan gaya permainan serta terus menekan lawan sehingga Antosen sukar bermain dan terpaksa memberi kemenangan mudah buat Zii Jia apabila mengalami kecederaan dan menarik diri ketika ketinggalan 8-13.

Ini adalah kemenangan mudah kali kedua berturut-turut buat Zii Jia selepas semalam pemain muda negara, Leong Jun Hao turut menarik diri akibat kecederaan di suku akhir.

Pemain pilihan kelapan akan bertemu Tze Yong untuk menentukan kejuaraan Terbuka Arctic esok.

Ini adalah peluang terbaik untuk pemain berusia 25 tahun itu menamatkan 'badi' kejuaraan selepas lebih dari setahun dirinya tidak merasai nikmat sebagai pemenang.

Kali terakhir pemain itu muncul juara adalah di Terbuka Thailand pada bulan Mei menewaskan wakil China, Li Shi Feng.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2023 @ 11:31 PM