TZE  Yong ketika sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara. FOTO Aswadi Alias
TZE Yong ketika sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara. FOTO Aswadi Alias
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan berkata, apa sahaja boleh berlaku buat anak buahnya, Ng Tze Yong ketika beraksi pusingan pertama Kejohanan Dunia selepas diundi berdepan Zhao Jun Peng dari China.

Menurutnya, jika Tze Yong mengeluarkan permainan sebenarnya apa sahaja boleh berlaku terutama sekali selepas kedua-duanya bakal berdepan buat kali pertama.

"Apabila sudah memasuki kejohanan besar seperti ini, tiada pilihan buatnya. Dia masih belum sampai pemain yang memperoleh status pilihan. Kita harus menerima apa sahaja keputusan undian," kata Hendrawan.

Ujar pengendali dari Indonesia itu, apa yang penting buat anak buahnya adalah terus kekalkan semangat melawan kerana pemain berusia 23 tahun itu sudah mempunyai standard.

"Kalau dia menang (pusingan pertama), di pusingan kedua dia bakal berdepan Anders Antonsen. Kedua-dua pemain ini dia belum pernah berjumpa sebelum ini, ia agak menarik untuk dilihat.

"Dari segi persiapan semuanya berjalan lancar, saya harap dia cuba yang terbaik di sana dengan fokus satu demi satu terlebih dahulu. Bermula minggu depan kita akan menganalisa permainan kedua-dua lawan itu terlebih dahulu," katanya.

Ditanya mengenai pertembungan antara bekas anak muridnya, Lee Zii Jia dengan Tze Yong di suku akhir Terbuka Australia minggu lalu, Hendrawan mengakui jurang kedua-dua pemain sudah semakin dekat.

"Dulu mungkin kita lihat jurang Tze Yong dengan Zii Jia semakin jauh, ia juga nampak di lihat ketika melalukan persiapan Piala Sudirman sebelum ini, masih dikira ketinggalan.

"Bagaimanapun, di Australia kita nampak dia boleh memberi tentangan, ia satu petanda positif buat Tze Yong. Kita tahu bahawa Tze Yong mempunyai perwatakan di mana jika dikeluarkan ia bakal menghasilkan permainan terbaik," katanya.

Kejohanan Badminton Dunia yang berlangsung dari 21 hingga 28 Ogos itu di Copenhagen juga menyaksikan Zii Jia memulakan saingan pusingan pertama dengan menentang pemain nombor lima dunia, Jonatan Christie dari Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2023 @ 4:44 PM