MOHAMAD Norza Zakaria. FOTO Owee Ah Chun
MOHAMAD Norza Zakaria. FOTO Owee Ah Chun
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak mahu terlalu memberi tekanan kepada barisan pemain negara berdasarkan prestasi yang dipamerkan pemain di Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Dubai yang melabuhkan tirainya semalam.

Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, masih terlalu awal untuk menilai prestasi dengan kelayakan ke temasya Olimpik Paris baru bermula.

Norza ketika ditemui berharap barisan pemain mencapai tahap kemuncaknya tepat pada masanya sebelum tempoh akhir kelayakan ke Olimpik berakhir April tahun depan.

"Terlebih dahulu tahniah kepada beregu kita Ong Yew Sin-Teo Ee Yi mara ke final BAC begitu juga kepada beregu campuran Goh Soon Huat-Shevon Lai yang layak ke separuh akhir.

"Untuk pemain lain kita bagi ruang kepada mereka kerana sebagai mana sedia maklum proses kelayakan baru bermula dan kita ingin melihat perkembangan pemain meningkat dari masa ke semasa.

"Kali ini masih di peringkat permulaan, kita tak nak letak terlalu banyak tekanan kepada mereka kerana mereka tahu hakikatnya kerana BWF (Persekutuan Badminton Dunia) akan menyenaraikan 10 kejohanan terbaik untuk mata kelayakan," katanya.

Norza berkata, seperti yang sedia maklum, bagi acara perseorangan 16 pemain terbaik berdasarkan ranking BWF akan layak ke Olimpik manakala dalam acara beregu hanya lapan pasangan akan ke Paris.

Justeru Norza menegaskan, beliau ingin melihat adanya dua wakil negara melayakkan diri dalam kedua-dua kategori itu.

Prestasi badminton negara di BAC boleh disifatkan sebagai kurang memberangsangkan selepas perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia terkandas seawal pusingan pertama.

Manakala beregu harapan negara yang juga juara dunia, Aaron Chia-Soh Woo Yik terkandas di pusingan kedua.

Namun ada peningkatan yang dipamerkan oleh beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, selepas pasangan itu dapat mengalahkan pilihan ketujuh dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun namun terkandas di pusingan kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2023 @ 12:57 PM