AKSI EE Yi (kanan) dan Yew Sin, hari ini. FOTO Badminton Photo
AKSI EE Yi (kanan) dan Yew Sin, hari ini. FOTO Badminton Photo
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Pemain beregu lelaki profesional negara, Ong Yew Sin mempamerkan semangat kesukananan yang tinggi pada aksi pusingan kedua kejohanan Seluruh England, hari ini.

Walaupun lutut pemain itu mengalami luka besar selepas tergelincir pada set kedua, Yew Sin dan pasangannya Teo Ee Yi tetap berjuang sehingga ke penamat ketika menentang pasangan Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana.

Meskipun tewas straight set, 18-21-18-21 dalam tempoh 44 minit, namun pujian harus diberikan kepada pasangan negara itu yang memberikan saingan sengit kepada pasangan Indonesia.

Kekalahan Yew-Sin itu turut menyaksikan tiada wakil Malaysia dalam acara beregu lelaki yang akan beraksi di suku akhir esok selepas beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yok tewas mengejut kepada pasangan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin meskipun beregu nombor dua dunia itu tidak pernah tewas dalam empat pertemuan terdahulu.

Pada aksi yang berlangsung di Arena Utilita, Birmingham, pasangan negara itu akur tewas 18-21, 21-14, 13-21 dalam tempoh satu jam.

Dalam pada itu, wakil tunggal negara dalam acara beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut tersingkir di pusingan kedua hari ini.

Pasangan yang berada di ranking keenam dunia itu terpaksa akur tumpas 12-21, 21-11, 21-19 kepada gandingan Jepun, Yuki Kaneko-Misaki Matsutomo dalam aksi yang berlangsung selama satu jam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2023 @ 9:27 PM