Lee Zii Jia tewas kepada pemain Thailand pada saingan separuh akhir Jelajah Dunia Akhir BWF. FOTO AFP
Lee Zii Jia tewas kepada pemain Thailand pada saingan separuh akhir Jelajah Dunia Akhir BWF. FOTO AFP
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Pertarungan wakil negara di pentas kejohanan Jelajah Dunia Akhir BWF berakhir di peringkat separuh akhir apabila semuanya tewas kepada lawan masing-masing sebentar tadi.

Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia terus kempunan untuk layak ke final selepas tunduk kepada wakil Thailand Kunlavut Vitidsarn.

Pertarungan yang berlangsung di Bali itu menyaksikan Zii Jia tewas straight set kepada pemain di ranking 21 dunia menerusi pungutan mata 18-21,18-21.

Walaupun, Zii Jia berada di ranking lebih baik namun lawannya itu menunjukkan permainan yang begitu agresif sekali gus memerangkap pemain itu untuk tunduk pada set pertama 18-21.

Zii Jia cuba bangkit pada set kedua namun beberapa kesilapan jelas dihukum Kunlavut untuk tewas 18-21.

Kekalahan itu, secara tidak langsung terus menafikan hasrat pemain berkenaan untuk melangkah ke peringkat akhir selepas pertandingan sebelum ini menyaksikan Zii Jia terkandas seawal pusingan pertama.

Sementara itu, nasib malang turut menimpa beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang terpaksa akur kepada lawan mereka.

Beregu lelaki negara itu tewas kepada pasangan dari Jepun yang berada di ranking 15 dunia Takuro Hoki-Yugo Kabayashi 18-21,15-21.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 9:03 PM