PEARLY (kiri) dan Thinaah mara ke pusingan kedua Masters Indonesia. FOTO BADMINTON PHOTO
PEARLY (kiri) dan Thinaah mara ke pusingan kedua Masters Indonesia. FOTO BADMINTON PHOTO
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Pemain badminton beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah mengakui sudah melupakan kekecewaan tewas di separuh akhir Terbuka India, minggu lalu.

Menurut Pearly, fokusnya bersama pasangan ketika ini adalah untuk mengekalkan momentum sedia ada dan akan cuba mempamerkan aksi terbaik dalam setiap perlawanan selepas ini.

"Apa yang berlaku sebelum ini sudah berlalu dan kami tidak mahu fikir mengenai perkara itu.

"Fokus ketika ini lebih tertumpu kepada corak permainan kami, momentum dan berharap dapat memberi aksi terbaik dalam setiap perlawanan," katanya.

Semalam, pasangan di ranking keenam dunia itu mara ke pusingan kedua Masters Indonesia selepas menewaskan wakil Singapura, Jin Yujia-Crystal Wong.

Pada aksi di Istora Senayan, Jakarta, gandingan itu tidak berdepan masalah untuk menewaskan lawannya itu menerusi keputusan straight set 21-8, 21-13 dalam tempoh 27 minit.

Menanti Pearly-Thinaah di pusingan kedua esok adalah gandingan senegara, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien yang menumpaskan beregu Taiwan, Lee Chia Hsin-Teng Chun Hsun 21-18, 21-17.

Ketika diminta mengulas aksi menentang pasangan Singapura itu, Thinaah mengakui dia dan pasangannya mampu beraksi lebih baik pada perlawanan itu.

Katanya, dia dan Pearly akan cuba mengkaji apa yang perlu diperbaiki daripada aksi itu bagi membantu mereka meningkatkan lagi prestasi untuk perlawanan akan datang.

"Kami boleh beraksi lebih baik. Apa yang penting adalah kami perlu mengekalkan fokus dan analisis aksi ini.

"Kami akan ambil satu perlawanan ke satu perlawanan dan cuba memberikan aksi yang terbaik setiap kali turun ke gelanggang," ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2023 @ 4:02 PM