ZII Jia tewas kepada Naraoka.
ZII Jia tewas kepada Naraoka.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Biarkan Lee Zii Jia pilih apa yang terbaik, jelas bekas jurulatihnya di Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Hendrawan selepas ditanya adakah satu tindakan yang tepat buat pemain nombor dua dunia itu bergerak secara profesional tanpa bantuan jurulatih.

Menurut pengendali kelahiran Indonesia itu, semua pihak harus memberi ruang dan kesempatan untuk Zii Jia memilih caranya sendiri selepas November lalu dia mengumumkan tidak lagi bersama Indra Wijaya.

Kekalahan mengejut Zii Jia di pusingan pertama Terbuka Malaysia Rabu lalu ketika menentang pemain Jepun sedang meningkat naik, Kodai Naraoka menyebabkan ramai mempersoalkan tindakannya mahu bergerak solo tanpa jurulatih.

Zii Jia juga selepas perlawanan berkenaan mengakui dia tetap kekal dengan pendirian tanpa jurulatih kerana itu jalan yang dipilihnya.

"Bagi ruang dengan apa yang dia pilih, kerana dia sudah memikirkan itu yang terbaik. Kita tidak perlu untuk menentangnya, biar Zii Jia belajar. Dia harus mengerti perkara ini betul-betul," kata Hendrawan.

Ujar beliau, perkara berkenaan tidak boleh dianggap sebagai satu kontroversi kerana Zii Jia sudah memikirkan yang terbaik bagi mengharungi musim baru.

"Sejak dari muda saya melihat dia seorang pemain yang tahu apa perlu dibuat. Bagaimanapun, perkara ini ada baik dan buruknya. Baik sebab dia kekal dengan pendirian, kerana setengah orang akan fikir dulu baik-baik. Dia ada keberanian hasilnya dia berani ambil risiko," kata Hendrawan.

Tambahnya, apa yang dilalui Zii Jia ini adalah satu proses perjalanan untuk pemain berusia 25 tahun itu menjadi lebih matang.

Kelmarin Zii Jia berkata dia tidak akan menyesal sebaik diajukan soalan oleh wartawan mengenai ketiadaan jurulatih.

Zii Jia tenang menjawab apa sahaja berlaku dan keputusan yang diraih dia harus terima, kerana itu jalan dipilih beraksi tanpa jurulatih.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2023 @ 2:34 PM