JIN Wei menewaskan Yvonne Li di Terbuka Malaysia, hari ini. FOTO ASWADI ALIAS
JIN Wei menewaskan Yvonne Li di Terbuka Malaysia, hari ini. FOTO ASWADI ALIAS
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Status pemain profesional dan berada di luar Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dijangka tidak menghalang impian perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Ini kerana, juara dua kali remaja dunia itu berlatih di Akademi Badminton Sports Affairs, bersama dua lagi pemain perseorangan lelaki profesional, Soong Joo Ven dan Cheam June Wei.

Hasilnya, dia berjaya mempamerkan peningkatan di peringkat antarabangsa walaupun sudah setahun meninggalkan BAM.

Hari ini, di pusingan pertama Terbuka Malaysia, Jin Wei mempamerkan aksi bertenaga apabila menumpaskan pemain ranking ke-26 dunia dari Jerman, Yvonne Li 21-11, 21-18.

Jin Wei yang bergelut dengan masalah kesihatan tahun lalu berkata, dia enggan mengulas mengenai prestasi pemain lain terutama perseorangan wanita di Akademi Badminton Malaysia (ABM) kerana tidak menjalani latihan bersama, sebaliknya gembira dengan perancangan diatur jurulatih dari Indonesia, Nova Armada.

"Bagi saya, semua pemain mempunyai peluang sama. Saya tidak pasti untuk orang lain, tetapi saya ada jurulatih yang baik dan ia sesuatu persaingan yang sihat," jelas pemain berusia 23 tahun itu.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu mengakui sangat stabil di bawah perancangan Nova dan peluang jalani latihan bersama Joo Ven dan Jun Wei memberikan pengalaman sangat baik.

Tahun lalu, Jin Wei beraksi dalam 17 kejohanan dan kini menduduki ranking ke-33 dunia.

Bagi kejohanan seterusnya, Jin Wei menegaskan dia akan lebih memilih kejohanan secara selektif untuk memastikan dapat memberikan segala-galanya demi negara di mana-mana kejohanan.

"Saya akan lihat tindak balas badan saya. Tahun lalu, saya terlalu membebankan diri, namun berbaloi dengan apa yang saya dapat rasakan hari ini.

"Kini saya mahu mahu fokus kepada kelayakan Olimpik bermula Mei ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2023 @ 4:49 PM