Man Wei Chong-Tee Kai Wun bakal beraksi di Terbuka Malaysia. -FOTO NSTP
Man Wei Chong-Tee Kai Wun bakal beraksi di Terbuka Malaysia. -FOTO NSTP
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dijangka berdepan tugas sukar pada kejohanan Terbuka Malaysia 2022 apabila bertemu bekas gandingan nombor satu dunia dari Indonesia Marcus Fernal di Gideon-Kevin Sanjaya seawal pusingan pertama.

Berdasarkan rekod pertemuan di antara kedua-dua beregu itu sebelum ini, Wei Chong-Kai Wun yang kini berada di ranking ke-19 dunia pernah bertemu sekali namun tewas kepada bekas juara dunia itu pada Terbuka Jepun Ogos lalu.

Justeru, pasangan negara itu tekad untuk mengubat kekecewaan berkenaan apabila menyasarkan untuk mencari kemenangan pertama menentang gandingan Indonesia berbekalkan sokongan penyokong badminton tempatan yang akan hadir ke Axiata Arena pada kejohanan itu.

"Kita punya undian memang agak tough apabila bertemu Kevin dan Gideon pada pusingan pertama nanti (Terbuka Malaysia).

"Bagaimanapun kita sudah buat persediaan rapi untuk menentang mereka dari awal bulan ini. Apa yang penting pada perlawanan itu kena all out sebab kejohanan ini bukan kecil.

"Jadi saya dan pasangan akan buat yang terbaik dan cuba untuk pecah rekod (menang) lawan mereka. Sebab kita tahu pada perlawanan itu kita akan dibantu penyokong oleh tempatan yang akan hadir bagi sokongan kepada kami," kata Wei Chong.

Dalam pada itu, bagi Kai Wun pula, selain mempunyai kelebihan beraksi di laman sendiri, dia dan pasangannya akan mengambil kesempatan dengan prestasi tidak menentu yang ditunjukkan gandingan Indonesia baru-baru ini untuk meraih kemenangan pertama.

Bagaimanapun, pemain kelahiran Melaka itu tetap berwaspada dengan ancaman yang akan diberikan beregu yang mendapat jolokan 'The Minions' dan akan memberikan terbaik apabila turun menentang mereka nanti.

"Kita tahu persembahan mereka (Kevin-Marcus) tahun ini ada turun naik. Malah sebelum ini juga kita pernah menentang mereka dan kami tidak tewas mudah.

"Jadi kita harap akan ambil kesempatan tersebut untuk menang buat kali pertama menentang mereka," ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Disember 2022 @ 1:51 PM