PEMAIN perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong ketika menentang pemain India, Lakshya Sen di final badminton Sukan Komanwel Birmingham 2022, hari ini. FOTO ASWADI ALIAS
PEMAIN perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong ketika menentang pemain India, Lakshya Sen di final badminton Sukan Komanwel Birmingham 2022, hari ini. FOTO ASWADI ALIAS
Daripada Amirullah Andi Nur

Birmingham: Impian pemain badminton perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong untuk ditabalkan sebagai juara Sukan Komanwel Birmingham 2022 tidak kesampaian apabila tewas kepada pemain India, Lakshya Sen dalam aksi final di sini, sebentar tadi.

Tze Yong yang juga juara berpasukan Asia tunduk 21-19, 9-21, 16-21 kepada naib juara Seluruh England itu dalam aksi sengit selama 81 minit di National Exhibition Center (NEC).

Kekalahan itu meranapkan harapan kontinjen negara untuk menambah kutipan pingat emas kepada tujuh menjelang majlis penutup temasya pada malam ini.

Ini adalah pingat kedua dimenangi Tze Yong pada temasya ini selepas berjaya meraih emas acara berpasukan campuran minggu lalu.

Skuad badminton sebelum ini antara yang disasarkan memenangi satu pingat emas pada Birmingham 2022.

Sebelum ini, mereka mendapat emas menerusi skuad berpasukan campuran.

Dalam perjalanan bergelar naib juara ini, Tze Yong menundukkan wakil Pakistan, Muhammad Irfan Saeed Bhatti pada pusingan pertama 2-0 (21-10, 21-10) ,diikuti Rasheed Ajfan dari Maldives, 2-0 (21-7, 21-9) peringkat 16 terbaik.

Pada peringkat suku akhir pula, dia menjinakkan juara dunia dari Singapura, Loh Kean Yew dalam aksi sengit, 21-15,14- 21,11 -21.

Dia kemudian mengatasi pemenang pingat perak Sukan Komanwel 2018, Srikanth Kidambi dari India, 13-21, 21-19, 21-10 pada aksi separuh akhir.

Lakshya Sen pula mengatasi pemain Singapura, Teh Jia Heng 10-21, 21-18, 16-21 pada aksi separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2022 @ 7:26 PM