PEMAIN perseorangan negara, Ng Tze Yong bersama pingat perak dimenangi dalam acara badminton perseorangan lelaki di Sukan Komanwel Birmingham 2022, hari ini. FOTO ASWADI ALIAS.
PEMAIN perseorangan negara, Ng Tze Yong bersama pingat perak dimenangi dalam acara badminton perseorangan lelaki di Sukan Komanwel Birmingham 2022, hari ini. FOTO ASWADI ALIAS.
BERNAMA

Birmingham: Pingat perak tidak dijangka pada temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 menjadi tonik terbaik bagi pemain badminton perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong menjelang Kejohanan Dunia di Tokyo, bermula 22 hingga 28 Ogos ini.

Pemain berusia 22 tahun itu berhasrat mengekalkan momentum pada penampilan sulung bersaing dengan pemain elit dunia di Tokyo selepas layak beraksi susulan penarikan diri pemain dari negara lain.

Tze Yong meraih perak di Birmingham 2022 selepas tewas 21-19, 9-21, 16-21 kepada pemain utama India, Lakshya Sen dalam pertarungan sengit selama 81 minit di pentas akhir, hari ini.

Sebelum ini, Tze Yong menggantikan Lee Zii Jia berikutan penarikan diri pemain perseorangan profesional itu daripada temasya itu.

"Saya tak jangka menang (pingat perak), sejujurnya saya puas hati dengan Sukan Komanwel kali ini kerana saya rasa berada di tahap terbaik di sini.

"Saya tidak pasti sama ada boleh berbuat demikian (mengekalkan prestasi) dalam kejohanan akan datang, tetapi berharap dapat membawa momentum ini ke Kejohanan Dunia.

"Pingat perak ini pasti mendorong saya untuk memberi cabaran di Tokyo," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis penyampaian pingat, hari ini.

Menduduki ranking ke-42 dunia, Tze Yong berharap dapat meningkatkan stamina selain beraksi menentang pemain ranking teratas seterusnya dalam usaha menimba lebih banyak pengalaman bermain di peringkat intensiti tinggi.

Dalam pada itu, dia meletakkan sasaran untuk menembusi ranking kelompok 30 pemain teratas dunia menjelang akhir tahun ini.

Anak Johor itu berkata, membantu Malaysia merampas pingat emas acara berpasukan campuran daripada India selepas menang 3-1 Selasa lalu, sememangnya satu pencapaian sukar dilupakan selain melangkah ke tempat kedua podium untuk pingat perak.

Beliau berharap rakyat Malaysia akan terus bersamanya ketika jatuh bangun dalam kariernya dan mengucapkan terima kasih kepada mereka, jurulatih dan keluarga atas sokongan selama ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2022 @ 10:25 PM