SHEVON (kanan) mahu mendapatkan keputusan yang lebih baik. FOTO FATHIL ASRI
SHEVON (kanan) mahu mendapatkan keputusan yang lebih baik. FOTO FATHIL ASRI
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Beregu campuran profesional negara, Shevon Lai mengakui kecewa terlepas peluang untuk mara ke pentas final selepas terkandas pada separuh akhir Terbuka Singapura, semalam.

Dia yang bergandingan dengan Goh Soon Huat terpaksa akur tewas kepada gandingan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai 17-21, 21-16, 20-22.

Bagi Shevon, dia serta Soon Huat sudah melakukan segala-galanya untuk memastikan mereka dapat melangkah sehingga ke pentas final selepas menjadi wakil tunggal negara beraksi di peringkat separuh akhir.

"Tewas kepada pasangan Thailand yang berada di kedudukan ranking lebih baik pastinya mengecewakan kerana saya mahu mendapatkan keputusan yang lebih baik," katanya.

Namun di sebalik kekalahan itu, Shevon lega kerana mereka memperoleh pencapaian positif apabila berjaya mengatasi pilihan keempat dari Hong Kong, Tang Cun Man-Tse Ying Suet 22-20, 16-21, 21-18 pada aksi suku akhir.

Ia adalah kemenangan pertama diraih Shevon-Soon Huat ke atas lawan mereka itu yang menang kesemua lima pertemuan sebelum itu.

"Menewaskan salah satu gandingan utama yang mana kami tidak pernah menang ke atas mereka sepanjang lima pertemuan sebelum ini pastinya memberi suntikan semangat kepada kami.

"Apapun kami sudah berikan yang terbaik pada perlawanan separuh akhir," katanya.

Mara ke separuh akhir Terbuka Singapura adalah pencapaian terbaik Shevon-Soon Huat pada tiga kejohanan terakhir mereka selepas terkandas seawal pusingan kedua di Terbuka Malaysia serta terhenti di suku akhir Masters Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Julai 2022 @ 8:05 PM