SHEVON (kiri)  enggan letak sasaran tinggi.
SHEVON (kiri) enggan letak sasaran tinggi.
Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Pemain beregu campuran negara Shevon Lai Jemie mengakui kejayaan melangkah ke pentas final kejohanan Masters Malaysia memberi lebih keyakinan kepadanya untuk menghadapi Terbuka India bermula hari ini.

Bergandingan dengan bekas pemain perseorangan lelaki negara, Goh Soon Huat, mereka berdua melakar kejutan mara ke final sebelum tewas kepada pasangan lebih berpengalaman Lai Pei Jing-Tan Kian Meng.

“Memang kejayaan mara ke final meningkatkan keyakinan tapi kami perlu fokus semula kerana akan melalui situasi berbeza.

“Ini kerana kami hadir ke Masters Malaysia dengan tahap kecergasan tinggi tapi sekarang kami perlu memperbaiki tahap kecergasan untuk perlawanan pertama,” katanya.

Jelas Shevon, meskipun dilihat mampu menjadi pencabar, dia serta Soon Huat tidak mahu meletakkan sasaran terlalu tinggi di saingan berstatus Grand Prix (GP) Emas itu.

“Sasaran yang paling realistik adalah ke suku akhir kerana jika kami sampai ke peringkat itu, kemungkinan besar bertemu pilihan pertama Joschim Fisher Nielsen-Christina Pederson.

“Apapun sebenarnya banyak yang perlu dipelajari kerana kami berdua baru saja digandingkan,” katanya.

Shevon-Soon Huat yang diletakkan pilihan keenam kejohanan, akan bertemu pasangan tuan rumah, Mohamed Rehan-J Anees Kowsar pada pusingan pertama hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2017 @ 10:06 AM