SZE Fei dan Nur Izzuddin tewas  di tangan pasangan India.
SZE Fei dan Nur Izzuddin tewas di tangan pasangan India.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky berang dengan prestasi dipamerkan barisan beregu lelaki negara di Terbuka Singapura apabila kesemua wakil negara tersingkir di pusingan kedua semalam.

Bekas juara dunia itu kecewa selepas kesemua mereka mengulangi skrip sama apabila tidak belajar daripada kesilapan dilakukan ketika Terbuka Malaysia dan Malaysia Masters.

Paling tidak dapat diterima oleh Rexy adalah alasan diberikan beregu nombor dua negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, iaitu penat.

"Saya kecewa. Hal yang sama, persembahan sama terus diulang-ulang oleh pemain kita. "Pergerakan di dalam gelanggang juga ulang kesilapan sama. Pemain kita tak pernah belajar daripada kesalahan mereka. Terutama Sze Fei-Izzuddin.

"Kita menaruh harapan besar kepada mereka tapi mereka tewas kepada pasangan India. Menang di set pertama dan hampir menang di set kedua dan masuk ke set ketiga ambil mudah, buat tekanan pada diri sendiri.

"Paling tak dapat diterima apabila bagi alasan penat. Itu alasan mengarut buat saya. Mereka kalah di pusingan pertama Malaysia Masters iaitu pada hari Selasa. Mereka ada masa banyak sebelum Terbuka Singapura. Apa yang penat," jelas Rexy.

Selain Sze Fei-Izzudin yang tewas kepada pasangan India, M R Arjun-Dharuv Kapila turut kecundang adalah Wan Muhammad Arif Shaharuddin Wan Mohd Junaidi-Muhammad Haikal Nazri kepada beregu Singapura, Hee Yong Kai-Loh Kean Hean.

Man Wei Chong-Kai Wun Tee tewas kepada beregu Indonesia, Mohammad Ashan-Hendra Setiawan.

Malah langkah beregu profesional Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, Goh V Shem-Low Juan Shen turut terhenti di pusingan kedua.

Begitupun Rexy tetap positif pemain beregu negara mampu menjelmakan pingat emas di temasya Komanwel Birmingham yang akan bermula dari 28 Julai hingga 8 Ogos ini.

Barisan beregu lelaki, wanita dan campuran antara yang boleh merealisasikan sasaran dua pingat emas dalam acara badminton di temasya berkenan.

"Banyak yang kita harus fokus dan buat lagi buat barisan pemain kita selepas ini. "Antaranya adalah fizikal mereka perlu dikuatkan lagi. Cara pemikiran dan berfikir juga perlu diubah. Kepercayaan pada diri harus difokuskan lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Julai 2022 @ 2:50 PM