PANG Ron (kanan) dan Ee Wei kandas di suku akhir. FOTO BAM
PANG Ron (kanan) dan Ee Wei kandas di suku akhir. FOTO BAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Impian untuk beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei untuk menjadi empat pasangan terbaik di Terbuka Indonesia berkecai selepas tersingkir di suku akhir, sebentar tadi.

Pasangan yang baru digandingkan hujung bulan lalu itu terpaksa akur apabila tewas di tangan beregu nombor enam dunia dari Korea Selatan, Seo Seung Jae-Chae Yu Jung 16-21, 17-21 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Istora Senayan, Jakarta.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky berkata, pasangan negara itu, dilihat mudah memberi mata kepada lawan sekali gus menyebabkan mereka ketinggalan hingga kecundang pada pertarungan terbabit.

"Dari aspek fizikal dan mental tiada masalah kerana mereka berada pada tahap terbaik dalam perlawanan itu.

"Cuma, mereka terlalu mudah memberikan mata kepada pihak lawan terutama ketika mata penting. Apabila mereka dapat mata, selepas itu mereka melakukan kesilapan mudah yang memberikan mata kepada lawan.

"Masalah ni perlu diatasi oleh Pang Ron-Ee Wei. Selain itu, mereka juga perlu memperbaiki corak permainan mereka, perlu berani untuk bermain dengan pantas bila situasi memerlukan mereka berbuat demikian," katanya.

Kekalahan itu, menyaksikan Pang Ron-Ee Wei akan mengalihkan fokus mereka selepas ini bagi melakukan persiapan menghadapi saingan Terbuka Malaysia yang akan berlangsung bermula 28 Jun hingga 3 Julai ini.

Bagaimanapun, pasangan itu berdepan laluan berliku untuk mara ke kelompok 16 terbaik apabila diundi bertemu pasangan China, Zheng Siwei-Huang Ya Qiong pada aksi pusingan pertama kejohanan yang akan berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Jun 2022 @ 5:38 PM