SETIAUSAHA Agung BAM, Datuk Kenny Goh. FOTO ARKIB NSTP
SETIAUSAHA Agung BAM, Datuk Kenny Goh. FOTO ARKIB NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Status berhubung penganjuran Kejohanan Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) belum dimuktamadkan, biarpun terdapat khabar angin mengatakan Malaysia akan menggantikan China sebagai tuan rumah kejohanan pada Disember ini.

Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh berkata, keputusan mengenai tuan rumah kejohanan akhir itu mungkin akan dibincangkan semula pada Mesyuarat Ahli Majlis BWF yang dijadualkan bulan depan.

"Buat masa ini, belum ada sebarang perkhabaran atau perbincangan untuk Malaysia menggantikan China sebagai tuan rumah.

"Lagipun China belum keluarkan sebarang kenyataan rasmi bahawa mereka nak tarik diri sebagai tuan rumah. Tapi mungkin kita boleh dapat gambaran lebih jelas apabila Mesyuarat Ahli Majlis BWF berlangsung bulan depan," katanya.

Saingan Jelajah Dunia Akhir BWF dijadual berlangsung di Guangzhou bermula dari 14 hingga 18 Disember depan.

Terdahulu khabar angin mula bertiup kencang mengatakan Malaysia bakal menjadi tuan rumah kejohanan berprestij itu selepas China dilaporkan masih bergelut dengan kes Covid-19, selain belum lagi membuka sempadan kepada negara luar.

Jelajah Dunia Akhir BWF itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$1.5 juta (RM6.65 juta) adalah kejohanan akhir musim yang menyaksikan persaingan antara lapan terbaik dalam ranking Jelajah Dunia musim ini bagi setiap kategori.

Untuk rekod, Sukan Asia Hangzhou 2022 yang dijadualkan September ini turut ditunda ke tahun depan kerana protokol ketat China menangani Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2022 @ 7:07 PM