ZII Jia diletakkan sebagai pilihan kesembilan di Tokyo 2020. FOTO AFP
ZII Jia diletakkan sebagai pilihan kesembilan di Tokyo 2020. FOTO AFP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Hadir kali pertama di temasya Sukan Olimpik, pemain badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mahu 'menikmati' perlawanan bermula esok bagi mengelak dirinya berhadapan tekanan.

Mengakui penyokong negara tertumpu kepadanya untuk memenangi pingat, Zii Jia berkata, situasi Tokyo 2020 agak berbeza tanpa kehadiran penonton, sekali gus kurang menyengat berbanding edisi terdahulu.

Juara Seluruh England 2021 itu berkata, semua pemain mempunyai peluang sama rata dan sudah tentu mahu membuktikan keupayaan melangkah ke pusingan seterusnya bagi mencerahkan peluang memenangi pingat.

"Ini adalah Olimpik pertama saya dan mahu 'enjoy' serta melakukan terbaik. Seperti kita ketahui Olimpik adalah kejohanan terbesar dunia, sekali gus suasana cukup istimewa buat saya.

"Tiada sokongan daripada penyokong dan situasi ini dilalui semua pemain dan itu sebenarnya antara cabaran perlu dilalui.

"Sekarang ini, saya yakin dengan kemampuan dan persembahan semakin baik seterusnya mampu mencipta kejayaan nanti," katanya.

Olimpik Tokyo 2020 menyaksikan Zii Jia yang mengetuai kem badminton diiringi tujuh pemain iaitu Soniia Cheah bagi perseorangan wanita, Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean (beregu wanita) dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran).

Sudah pastinya, anak kelahiran Kedah itu menjadi sandaran meraih pingat emas untuk negara berikutan kejayaannya merangkul gelaran Seluruh England 2021 selepas menumpaskan Viktor Axelsen dari Denmark 30-29, 20-22, 21-9 pada final di Birmingham, Mac lalu.

Selain menewaskan Axelsen, Zee Jia yang diletakkan sebagai pilihan kesembilan di Tokyo 2020 pernah menundukkan jaguh badminton dunia, Kento Momota dari Jepun 21-16, 21-19 di suku akhir Seluruh England 2021.

Dia turut melakukan kejutan ke atas juara bertahan Olimpik, Chen Long dari China pada separuh akhir Seluruh England 2020 dengan keputusan 21-12 dan 21-18.

Zii Jia akan turun menentang pemain Ukraine, Artem Pochtarov dalam saingan Kumpulan M bermula esok.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 3:45 PM