QI Xuan beraksi sebagai perseorangan kedua.
QI Xuan beraksi sebagai perseorangan kedua.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Walaupun India dan Jepun tidak menurunkan skuad wanita utama, pemain perseorangan negara Eoon Qi Xuan menasihati rakan sepasukan agar tidak memandang rendah keupayaan lawan menjelang saingan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) yang akan membuka tirai esok di Pusat Konvesyen Setia, Shah Alam.

Menurut pemain berusia 21 tahun itu, apa yang perlu dilakukan mereka adalah hanya fokus kepada memberikan persembahan terbaik terutama ketika beraksi di laman sendiri.

"Saya rasa kita sudah melakukan persediaan dengan baik setakat ini. Kita tidak ambil mudah mengenai persiapan ketika menjalani latihan. Latihan yang sudah kita lalui juga sangat getir," kata pemain kelahiran Perak itu.

Ujarnya, walaupun diundi dalam Kumpulan Y bersama juara bertahan Jepun dan India dia berasakan skuad wanita mampu memberi tentangan sengit dan dalam masa sama tidak boleh memandang rendah terhadap kedua-dua negara berkenaan yang tidak menurunkan pemain dalam kelompok 50 terbaik untuk perseorangan mahupun beregu. "Saya rasa peluang untuk kita mengatasi kedua-dua negara berkenaan adalah 50-50 dan saya sendiri berharap mampu menyumbang mata buat pasukan berdasarkan keadaan saya sekarang yang sudah bersedia.

"Saya akan buat yang terbaik apabila turun ke gelanggang nanti," katanya yang menduduki ranking 126 dunia dan pernah melakarkan kejutan dengan mengalahkan pemain ranking ke-22 dunia dari Denmark, Line Christophersen di Piala Uber 2020. Ditanya mengenai persiapan terakhir sebelum turun membawa cabaran negara esok untuk berdepan India esok, Qi Xuan mengakui dia banyak memberi tumpuan untuk menguatkan bahagian tangannya.

"Kekuatan tangan saya masih agak kurang, jadi persiapan saya lebih ke arah itu. Bagaimanapun, selepas beraksi di Piala Uber dan Sudirman tahun lalu, keyakinan saya semakin tinggi dan harap dapat mengekalkannya untuk BATC," katanya yang bakal diturunkan selaku perseorangan kedua di belakang S Kisona.

Selain Qi Xuan dan Kisona skuad wanita negara turut disertai Tan Zhing Yi, Siti Nurshuhaini Azman dan Myisha Mohd Khairul. Beregu pula terdiri pasangan nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah akan menjadi sandaran utama menyumbangkan mata selain Teoh Mei Xing-Anna Cheong, Valeree Siow-Low Yeen Yuan dan Go Pei Kee.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Februari 2022 @ 10:19 PM