WONG Choong Hann. FOTO NSTP
WONG Choong Hann. FOTO NSTP
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) nyata kecewa dengan prestasi skuad perseorangan negara di bawah kendalian Wong Choong Hann yang dilihat gagal menyerlah

sejak penghujung tahun lalu selepas dikendalikan secara profesional oleh Akademi Badminton Malaysia (ABM)

Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menggesa Pengarah Kejurulatihan Perseorangan ABM itu agar mencari langkah terbaik bagi menangani masalah berkenaan.

Kata beliau, Choong Hann adalah individu bertanggungjawab untuk memperbaiki prestasi pemain-pemain perseorangan termasuk lelaki dan wanita yang semakin merudum.

"Dari aspek prestasi tinggi, Ahli Majlis meluahkan kekecewaan terhadap jabatan perseorangan yang diketuai Wong Choong Hann. Memang skuad perseorangan tidak menyerlah (selepas BAM melepaskan ABM).

"Justeru, kita mahu Choong Hann menilai semula keadaan jabatan tersebut bagi melihat bagaimana untuk memastikan prestasi pemain-pemain boleh kembali meningkat," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan BAM di ABM hari ini.

Pada masa sama, beliau turut menjelaskan, prestasi skuad badminton negara menunjukkan penurunan secara tiba-tiba meskipun mencatat keputusan membanggakan sepanjang saingan musim lalu.

"Pada saingan 2022, kita ada memenangi BATC (Kejohanan Berpasukan Campuran Asia) pada Februari selain skuad Piala Uber layak secara merit. Pada 28 Ogos pula, kita ada juara dunia menerusi Aaron-Soh Wooi Yik.

"Kemudian, kita juga muncul juara Terbuka Perancis menerusi beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah pada Oktober selain merangkul pingat emas berpasukan campuran pada Sukan Komanwel Birmingham," ujarnya.

Sementara itu, Mohamad Norza juga mengesahkan Ahli Majlis BAM juga bersetuju untuk menerima peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ABM, Michelle Chai susulan aksi mengecewakan skuad badminton wanita negara pada Sukan Sea Kemboja 2023.

"Berhubung peletakan jawatan Michelle, Ahli Majlis bersetuju untuk menerima keputusan yang dibuat. Bagaimanapun, beliau akan membantu pengurusan bagi mencari calon terbaik untuk jawatan CEO itu.

"Michelle sudah buat tugas yang baik sejak memegang jawatan tersebut. CEO selepas ini perlulah memiliki latar belakang dalam sukan badminton serta reputasi besar yang boleh mengendalikan individu-individu berstatus legenda," ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mei 2023 @ 4:15 PM