LIEK Hou ceria mempamerkan pingat emas miliknya  di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). FOTO Bernama
LIEK Hou ceria mempamerkan pingat emas miliknya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). FOTO Bernama
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Cheah Liek Hou nyata tidak puas dengan kejayaan memenangi emas di Paralimpik Tokyo apabila mengakui akan berusaha mempertahankan kemenangannya itu pada Paralimpik Paris 2024 yang berlangsung tiga tahun lagi.

Pemain badminton perseorangan para negara itu berkata, tiga tahun bukanlah satu tempoh yang lama dan dia teruja untuk beraksi lagi di temasya sukan tertinggi itu.

"Saya akan teruskan untuk Paris 2024 sebab ada tiga tahun saja lagi. Saya akui ini kejayaan paling besar. Dengan kejayaan ini, saya sudah melengkapkan segala gelaran di sukan badminton para," katanya.

Meskipun ketika itu usianya bakal mencecah 36 tahun, Liek Hou dilihat mampu mengikut jejak langkah bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang masih aktif beraksi ketika di usia sama.

"Saya sudah mencipta sejarah dengan memenangi pingat emas pertama di dalam sukan badminton untuk diri sendiri dan negara. Harap ia tak terhenti di sini saja," katanya selepas acara badminton dipertandingkan kali pertama di Paralimpik Tokyo.

Dia yang beraksi bagi kategori SU5, muncul juara selepas menumbangkan pemain nombor satu dunia yang juga musuh tradisinya dari Indonesia, Dheva Anrimusthi 21-17, 21-15 dalam aksi final.

Kejayaan juara dunia enam kali itu juga banyak dibantu oleh jurulatihnya yang juga bekas pemenang pingat gangsa Olimpik 1996 di Atlanta, Datuk Rashid Sidek.

Selain ganjaran RM1 juta serta pencen RM3,000 setiap bulan di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam), Liek Hou juga akan menerima insentif tambahan sebanyak RM100,000 daripada FWD Takaful.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 3:08 PM