Aksi beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik menentang pasangan Kanada pada perlawanan peringkat kumpulan D di Olimpik Tokyo. FOTO Bernama
Aksi beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik menentang pasangan Kanada pada perlawanan peringkat kumpulan D di Olimpik Tokyo. FOTO Bernama
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Seperti diramal beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak berdepan masalah untuk memenangi perlawanan terakhir Kumpulan D selepas berjaya mengalahkan pasangan Kanada, Jason Ho Shue-Nyl Yakura di Musashino Forest Sports Plaza, sebentar tadi.

Kemenangan straight set 21-15, 21-13 membolehkan Aaron-Wooi Yik menempah slot ke suku akhir mengiringi juara kumpulan, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan.

Naib juara Seluruh England 2019 itu mengambil masa 33 minit untuk menyingkirkan jaguh dari Kanada itu dan dilihat sedikit kurang selesa pada set pertama.

Selepas berjaya mengawal tentangan sengit yang diberikan pasangan lawan, Aaron-Wooi Yik yang menduduki ranking kesembilan dunia berjaya mendominasi saingan.

Selaku naib juara kumpulan Aaron-Wooi Yik diundi bertemu juara Kumpulan A yang juga pilihan utama dari Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo di suku akhir.

"Lega dengan kemenangan hari ini walaupun pasangan lawan tidak begitu kuat seperti sebelum ini. Bagaimanapun, kami tetap waspada dengan berjaya memperbaiki kesilapan di set pertama dan kembali berada di zon selesa," kata Wooi Yik.

Sementara itu, Aaron mengakui tidak kisah bertemu mana-mana pasangan sekali pun di suku akhir kerana mereka sudah bersedia akan memberikan tentangan habis-habisan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Julai 2021 @ 8:31 PM